TOKYO: Agensi Tenaga Atom Jepun (JAEA) mengesahkan kebocoran bahan radioaktif di satu kemudahan penyelidikan bahan api nuklearnya tetapi tiada kesan buruk terhadap kesihatan kakitangan atau persekitaran berhampiran dilaporkan, Xinhua memetik laporan media tempatan.

Kebocoran itu dikesan dalam Bilik Pembangunan Bahan Api Plutonium No. 3 di Makmal Kejuruteraan Kitaran Bahan Api Nuklear JAEA, yang terletak di Desa Tokai, Ibaraki, lapor agensi berita Kyodo, memetik agensi itu.

Pada Jumaat lalu, Bilik Pembangunan Bahan Api Plutonium No. 3 mengenal pasti pencemaran akibat bahan radioaktif di empat lokasi dalam kemudahan itu.

Pencemaran itu ditemui semasa pemeriksaan rutin peralatan kotak sarung tangan, yang direka bentuk supaya kedap udara.

Pencemaran ditemui di atas dan di bawah kotak sarung tangan, dengan tahap aktiviti radioaktif tertinggi sekitar 33 becquerel.

JAEA memberi jaminan kepada orang ramai bahawa insiden itu tidak membawa kesan negatif terhadap kesihatan empat kakitangan di kemudahan itu, mahupun persekitaran berhampiran.

Pada masa ini, punca kebocoran bahan radioaktif sedang disiasat.

-- BERNAMA