DUNIA

Kebuluran Gaza adalah ciptaan manusia, Israel guna kelaparan sebagai senjata

Bernama 07/09/2025 | 03:15 MYT
Lazzarini menggesa sekatan terhadap organisasi kemanusiaan di Gaza ditarik balik serta penghantaran bantuan dibenarkan tanpa halangan. - Foto fail/REUTERS
KAHERAH: Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty pada Sabtu menyatakan bahawa kebuluran di Gaza adalah sepenuhnya ciptaan manusia dan berpunca daripada tindakan Israel, sambil mengulangi penolakan tegas Mesir terhadap sebarang percubaan untuk menyingkirkan perjuangan Palestin, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Bercakap pada sidang akhbar bersama Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini, Abdelatty mengecam usaha menyasarkan agensi PBB itu, dengan menegaskan semua mekanisme alternatif telah gagal dengan teruk.

Beliau menegaskan sokongan berterusan Mesir terhadap UNRWA, ketika agensi itu berdepan cabaran yang semakin meningkat.

Abdelatty menyifatkan sikap keras kepala Israel sebagai penghalang utama kepada kemajuan dalam rundingan gencatan senjata dan menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan permusuhan di Gaza dengan segera. Beliau turut mengkritik dasar peluasan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dan mengecam penggunaan kelaparan sebagai senjata peperangan.

Beliau menolak cadangan Israel mengenai "pemindahan sukarela" penduduk Gaza, menyifatkannya sebagai "tidak masuk akal," serta menegaskan lintasan Rafah tidak akan digunakan sebagai saluran bagi pemindahan paksa. Abdelatty menekankan bahawa pemindahan penduduk secara paksa adalah garis merah bagi Mesir.

Abdelatty turut mengecam usaha perundangan Israel yang bertujuan menamatkan operasi UNRWA di wilayah Palestin yang diduduki, memberi amaran langkah sedemikian menetapkan duluan berbahaya dan menjejaskan undang-undang antarabangsa serta keyakinan terhadap institusi global.

Beliau turut merujuk kepada pelan Arab-Islam bersepadu untuk masa depan Gaza, termasuk pengaturan keselamatan, tadbir urus, pembinaan semula, dan penempatan pasukan polis Palestin di Semenanjung itu.

Ketua UNRWA Philippe Lazzarini menggambarkan Gaza sebagai "zon perang," mendedahkan bahawa 90 peratus kemudahan agensi itu telah musnah. Beliau memberi amaran bahawa UNRWA berada di ambang keruntuhan akibat kekurangan dana yang teruk dan menyeru gencatan senjata segera bagi menangani bencana kemanusiaan yang semakin buruk.

Lazzarini menggesa sekatan terhadap organisasi kemanusiaan di Gaza ditarik balik serta penghantaran bantuan dibenarkan tanpa halangan.

Beliau mengakui keadaan kewangan UNRWA yang parah sehingga memaksa ia menggantung beberapa program, dan memuji peranan wartawan dalam mendedahkan situasi di Gaza. Beliau juga menekankan bahawa kedua-dua pekerja bantuan dan wartawan membayar harga yang tinggi.

Pegawai PBB itu memuji peranan penting Mesir dalam memudah cara penghantaran bantuan dan menyifatkan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap krisis ini sebagai mengejutkan.

-- BERNAMA





#Gaza #Israel #kebuluran #bantuan kemanusiaan