Kecoh! Wanita pakai kasut, bawa anjing dalam masjid di Bogor

Wanita yang berusia sekitar 50-an tersebut masuk ke dalam Masjid Al Munawaroh, Sentul City dipercayai mencari suaminya yang didakwa bakal berkahwin di situ.

Wanita itu mengamuk lalu melepaskan anjingnya ke lantai apabila ditegur jemaah masjid. -  Sumber foto Liputan6 | Astro Awani
Suasana kecoh tercetus di sebuah masjid apabila seorang wanita masuk ke ruang solat dengan memakai kasut sambil mendukung anjing peliharaannya.

Dalam kejadian di Bogor, Jawa Barat itu, wanita yang berusia sekitar 50-an tersebut masuk ke dalam Masjid Al Munawaroh, Sentul City, di sini, dipercayai mencari suaminya yang didakwa bakal berkahwin di situ.

Melihat kejadian berkenaan, seorang pengawal keselamatan masjid datang menegur dan memintanya untuk keluar.

Namun, wanita tersebut mengamuk lalu melepaskan anjingnya ke lantai masjid.

Para jemaah yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk mendirikan solat zohor tampil menghalang wanita berkenaan dan mengusir anjing peliharaannya.

Polis yang tiba tidak lama kemudian telah menahan wanita itu dan membawanya ke balai untuk disoal siasat.

Pengerusi masjid tersebut mengesahkan tiada acara akad nikah dijadualkan berlangsung di masjid itu pada hari kejadian.