DUNIA

Keganasan Israel: Nak kering tekak, Malaysia suarakan isu Gaza - Tok Mat

Seth Akmal 17/06/2025 | 13:12 MYT
Menurut Mohamad, wakil Malaysia termasuk beliau berulang kali menyuarakan tuntutan Malaysia agar keganasan yang berlaku terhadap warga Palestin dihentikan segera. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan kekecewaannya berhubung kekejaman Israel terhadap wilayah Gaza.

Menurut Mohamad, wakil Malaysia termasuk beliau berulang kali menyuarakan tuntutan Malaysia agar keganasan yang berlaku terhadap warga Palestin dihentikan segera.

“Wakil Malaysia, termasuk saya telah berulang kali melaungkan nama Gaza di pentas dunia sehingga tekak kami nak kering, namun hari demi hari pengeboman terus berlaku,” katanya semasa menyampaikan ucaptama semasa majlis makan malam Rundingan Meja Bulat Asia-Pasifik siri ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, selagi komuniti antarabangsa terus berdiam diri dan melihat jenayah genoksida Israel sebagai langkah mempertahankan isu ini bakal tiada pengakhiran.

“Kita tidak akan melihat pengakhiran isu ini selagi mana ahli-ahli komuniti antarabangsa terus memberi alasan dengan menganggap aksi genoksida sebagai mempertahankan diri.

“Hampir dua tahun lalu, apabila undang-udang antarabangsa tidak diendahkan (Israel), kita telah memberi amaran ia bakal merebak kepada perang di peringkat rantau (Asia Barat).

“Ternyata, ia telah berlaku apabila Israel bertindak memperbesarkan konflik ini dengan melancarkan serangan ke atas Iran,” katanya.

Mohamad turut menyatakan Malaysia mengecam serangan itu, dan melihatnya bukan sekadar keganasan yang nyata dan provokasi terhadap perang, namun bakal menggugat ketabilan dinamika di rantau yang telah bergolak.

“Kesan ekonomi daripada serangan ini jelas kelihatan, harga minyak global telah melonjak, apabila pihak berkepentingan menjangkakan gangguan bekalan utama,” katanya.

Media melaporkan, angka kematian di Gaza hampir mencecah 55,300 orang sejak Oktober 2023.




#Asia #harga minyak #Israel #Palestin