DUNIA

Keganasan Israel: Tiada ruang untuk negara Islam berkecuali - Ali Khamenei

Agensi 04/06/2025 | 12:31 MYT
Tiada ruang untuk rundingan, bersikap neutral dan berdiam diri, kata Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Syed Ali Khamenei. - Reuters.
TEHRAN: Tiada ruang bagi mana-mana negara Islam untuk mengadakan rundingan atau bersikap neutral terhadap kekejaman Zionis Israel, kata Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Syed Ali Khamenei.
Menurut pemimpin tertinggi Republik Islam itu, ia juga termasuk normalisasi hubungan, menyekat kemasukan bantuan ke Palestin, atau melakukan justifikasi ke atas jenayah yang dilakukan oleh Israel.
"Tiada ruang untuk rundingan, bersikap neutral dan berdiam diri, jika ada mana-mana kerajaan dalam kalangan negara Islam, secara tidak langsung atau dengan alasan menyokong rejim Zionis.
"Sama ada normalisasi hubungan, menyekat bantuan kemanusiaan ke Palestin atau membenarkan jenayah Zionis, mereka harus sedar bahawa rasa malu akan kekal menghantui mereka," tegasnya.
Khamenei turut mengkritik tindakan Israel yang menyerang warga Palestin ketika berkumpul di pusat pengagihan bantuan yang ditentukan sendiri lokasinya oleh rejim itu.
"Sekarang mereka sedang menubuhkan sebuah pusat, kononnya untuk pengagihan makanan, kerana bekalan makanan tidak boleh memasuki Gaza, dan orang ramai bergegas mendapatkan makanan dari sana.
"Dengan satu peluru berpandu, mereka memusnahkan sepuluh kali ganda lebih banyak daripada mengunakan bom.
"Membunuh orang menjadi terlalu mahal untuk mereka (Israel), jadi mereka mula menjadikannya lebih murah. Sebelum ini mereka menggunakan bom, tetapi kini mereka menggunakan peluru berpandu, ia sangat mengejutkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan sempena ulang tahun kematian pengasas Republik Islam, Ayatollah Ruhollah Musavi Khomeini di Tehran pada Rabu.
Menurut pegawai agensi kesihatan berpusat di Gaza, sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera akibat daripada tembakan Israel berhampiran tapak pengagihan bantuan makanan.
Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat menubuhkan pusat pengedaran bantuan pertama minggu lalu dalam usaha untuk mengatasi masalah kelaparan di kalangan 2.3 juta penduduk Gaza.
Kebanyakan mangsa terpaksa meninggalkan rumah mereka untuk melarikan diri dari pertempuran.
Tentera Israel berkata tenteranya telah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang yang mereka anggap sebagai ancaman selepas mereka meninggalkan laluan masuk yang ditetapkan berhampiran pusat pengedaran di Rafah dan mendekati kedudukan pasukan mereka.
#Gaza #bom #Iran #Islam #Israel #Palestin #rejim Zionis #tembakan #bantuan kemanusiaan