KEHIDUPAN kembali normal di Stepanakert, ibu kota Nagorno-Karabakh, setelah gencatan senjata mengakhiri konflik berminggu-minggu antara Armenia dan Azerbaijan berhubung wilayah yang dipertikaikan.

Kira-kira 7,000 pelarian kembali ke Nagorno-Karabakh, kata Menteri Pertahanan Rusia Sergey Shoigu pada Sabtu, dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Armenia, di Yerevan, ibu negara Armenia.

Penjual daging dan penjual sayur dilihat sudah kembali memulakan perniagaan mereka.

Pasukan pengaman Rusia dikerahkan ke Nagorno-Karabakh setelah perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara Armenia dan Azerbaijan bagi mengakhiri pertempuran selama enam minggu ke atas wilayah pemisah.

Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember.

Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.

Pada Selasa, pengaman Rusia membuka sebatang lebuh raya melalui koridor Lachin yang menghubungkan Nagorno-Karabakh dengan Armenia.