NEW YORK: Kejadian tembakan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin lazim berlaku berbanding negara-negara lain di dunia dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, menurut Xinhua yang memetik laporan CNN baru-baru ini.

Terdapat sekurang-kurangnya 53 kes tembakan di sekolah K-12 di AS sehingga ini pada tahun ini, melebihi kes pada 2021 dan hampir dua kali ganda berbanding 2018, menurut laporan pada Ahad itu.

Dalam kebanyakan kes, prosiding undang-undang boleh berlangsung selama beberapa dekad, manakala serangan baharu dalam tempoh itu menghangatkan semula perbahasan untuk perubahan dan mencetuskan perdebatan politik, tetapi hanya sedikit perubahan dapat dilihat.

"Kita sudah semakin biasa dengan peristiwa ini," laporan itu memetik kenyataan Joel Dvoskin, penolong profesor psikiatri klinikal di Kolej Perubatan Universiti Arizona.

"Orang ramai dilihat semakin terbiasa dengan kejadian ini, ia bagaikan satu yang lumrah, ini sangat mengerikan," kata Dvoskin.

-- BERNAMA