INTERNATIONAL

Kejam! Tentera Israel bunuh 15 petugas perubatan Palestin, semua mayat ditanam dalam kubur besar - PBB

Agensi 31/03/2025 | 23:15 MYT
Penduduk Palestin berkabung atas kematian petugas perubatan yang ditembak oleh tentera Israel ketika dalam misi menyelamat, selepas mayat mereka ditemui. - Gambar Reuters
SEMENANJUNG GAZA: Kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin semakin di luar pemikiran manusia yang waras.

Setiap hari terdapat pelbagai laporan tidak berperikemanusiaan tentera Israel terhadap rakyat Palestin termasuk 15 petugas dan penyelamat kecemasan yang dibunuh oleh tentera Israel di selatan Gaza.

Apa yang lebih menyayat hati, kesemua mayat mereka dan ambulans yang hancur ditemui tertimbus dalam sebuah kubur besar yang dibuat secara tergesa-gesa, dipercayai telah dilenyapkan oleh jentolak tentera Israel.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penemuan mayat-mayat beberapa petugas perubatan Palestin telah ditemui di dalam sebuah kubur besar di Gaza.

Mayat-mayat tersebut dipercayai milik pekerja kecemasan yang terbunuh dalam serangan tentera Israel di selatan Gaza.

Pasukan penyelamat yang menemui mayat itu berkata para petugas perubatan masih memakai pakaian seragam dan sarung tangan mereka ketika dikebumikan.

Rakaman yang dikeluarkan menunjukkan ambulans dan kenderaan kecemasan yang hancur turut tertimbus di lokasi tersebut.

Bulan Sabit Merah Palestin dan organisasi kemanusiaan lain mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran hak asasi manusia yang serius, manakala PBB menuntut siasatan segera terhadap insiden tersebut.

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, dalam satu hantaran di X, menyatakan mayat-mayat tersebut ditemui berhampiran "kenderaan yang hancur dan jelas bertanda."

Tambah beliau: "Mereka dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba menyelamatkan nyawa. Kami menuntut jawapan dan keadilan."

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, kesemua mangsa yang terbunuh dan kenderaan dinaiki mereka jelas menunjukkan mereka merupakan petugas perubatan dan kemanusiaan, serta mendakwa tentera Israel membunuh mereka “dengan kejam.”

Dalam reaksi segera, tentera Israel pula mendakwa, anggotanya melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang menghampiri mereka “dengan cara mencurigakan” tanpa tanda pengenalan.

Mereka yang terbunuh termasuk lapan petugas Bulan Sabit Merah, enam anggota unit kecemasan Pertahanan Awam Gaza dan seorang kakitangan UNRWA (agensi PBB untuk rakyat Palestin).

Dalam perkembangan yang sama, Palang Merah Antarabangsa berkata, ini merupakan serangan paling berdarah terhadap petugasnya dalam tempoh lapan tahun.

Sejak perang di Gaza bermula 18 bulan lalu, Israel telah membunuh lebih daripada 100 petugas Pertahanan Awam dan lebih 1,000 petugas kesihatan, menurut PBB.

Hilang beberapa hari

Berdasarkan laporan, pasukan kecemasan itu telah hilang sejak 23 Mac, apabila mereka keluar menjejaki
mangsa selepas tentera Israel melancarkan serangan di daerah Tel Al-Sultan, Rafah, di selatan Gaza.

Tentera Israel telah mengeluarkan arahan untuk pemindahan kawasan itu lebih awal pada hari tersebut, dengan alasan pejuang Hamas beroperasi di sana.

Ketika itu, Pertahanan Awam mengeluarkan amaran bahawa penduduk Palestin yang berlindung di kawasan tersebut telah diserang, dan pasukan yang pergi menyelamatkan mereka telah “dikepung oleh tentera Israel.”

“Maklumat yang ada menunjukkan bahawa pasukan pertama dibunuh oleh tentera Israel pada 23 Mac,” kata PBB dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pasukan kecemasan lain yang dihantar untuk menyelamatkan kumpulan pertama turut “diserang satu demi satu selama beberapa jam,” tambah kenyataan itu.

Semua pasukan keluar pada waktu siang, menurut Pertahanan Awam.

Tentera Israel pada Ahad mendakwa, pada 23 Mac, anggotanya melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang “bergerak secara mencurigakan” ke arah mereka tanpa isyarat kecemasan.

Menurut mereka, “penilaian awal” mendapati tentera telah membunuh seorang anggota Hamas bernama Mohammed Amin Shobaki serta lapan pejuang lain.

Israel sebelum ini telah menyerang ambulans dan kenderaan kecemasan lain serta mengeluarkan dakwaan Hamas menggunakannya untuk tujuan pengangkutan.

Namun, tiada seorang pun daripada pekerja Bulan Sabit Merah dan Pertahanan Awam yang terbunuh mempunyai nama tersebut dan tiada mayat lain yang ditemui di lokasi, menimbulkan persoalan tentang dakwaan tentera Israel bahawa terdapat militan dalam kalangan pasukan penyelamat.

Tentera Israel tidak segera memberikan nama pejuang lain yang didakwa terbunuh atau menjawab bagaimana pekerja kecemasan itu boleh dikuburkan.

Selepas gencatan senjata selama hampir dua bulan, Israel menyambung semula serangan ketenteraannya di Gaza pada 18 Mac.

Sejak itu, serangan udara dan darat telah membunuh lebih daripada 1,000 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kata kementerian itu, lebih separuh daripada yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak.

Petugas bantuan kemanusiaan berkata, pasukan ambulans dan pekerja kemanusiaan telah menjadi sasaran dalam serangan terbaharu ini.

Seorang pekerja badan amal World Central Kitchen terbunuh pada Jumaat akibat serangan Israel yang terkena dapur tempat makanan percuma diedarkan.

Pada 19 Mac pula, serangan kereta kebal Israel ke atas sebuah bangunan PBB membunuh seorang kakitangan, menurut PBB, walaupun Israel menafikan terlibat dalam letupan itu.

Kubur besar

Selama beberapa hari, tentera Israel tidak membenarkan akses ke lokasi di mana pasukan kecemasan itu hilang, kata PBB.

Pada hari Rabu, konvoi PBB cuba sampai ke lokasi tetapi ditembak oleh tentera Israel.
Konvoi itu melihat seorang wanita yang telah ditembak terbaring di jalan.

Rakaman video menunjukkan kakitangan PBB berbincang untuk mengambil wanita itu.

Kemudian dua orang berjalan melintasi jalan, bunyi tembakan kedengaran, dan mereka melarikan diri.

Salah seorang daripada mereka kelihatan cedera sebelum dia ditembak lagi dan jatuh tersungkur ke tanah.
PBB berkata, pasukannya mengambil mayat wanita itu dan beredar.

Pada hari Ahad, PBB berkata, pasukan pertubuhan itu akhirnya dapat mengakses lokasi tersebut selepas tentera Israel memberitahu lokasi mayat-mayat itu dikuburkan, di kawasan tandus di pinggir Tel Al-Sultan.

Rakaman yang dikeluarkan oleh PBB menunjukkan pekerja dari PRCS dan Pertahanan Awam, memakai topeng dan jaket oren terang, menggali tanah yang tampak telah dilonggokkan oleh jentolak Israel.

Rakaman itu menunjukkan mereka mengeluarkan beberapa mayat yang masih memakai jaket kecemasan oren.

Beberapa mayat ditemui bertindih antara satu sama lain, sementara sejumlah ambulans dan kenderaan PBB yang mengalami kerosakan teruk atau hancur juga tertimbus dalam tanah tersebut.

“Mayat mereka dikumpulkan dan dikuburkan dalam kubur besar ini,” kata Jonathan Whittall dari Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA), dalam video di lokasi kejadian.

“Kami menggali mereka keluar dalam pakaian seragam mereka, dengan sarung tangan masih di tangan mereka. Mereka berada di sini untuk menyelamatkan nyawa.”

“Ia adalah kekejaman paling mutlak yang telah berlaku di sini,” tambahnya.

Pengebumian

Lautan manusia berkumpul pada hari Isnin di luar bilik mayat Hospital Nasser di Khan Younis ketika mayat lapan pekerja PRCS yang terbunuh dikeluarkan untuk dikebumikan.

Mayat mereka diletakkan di atas pengusung dan dibalut dengan kain putih yang mempunyai logo Bulan Sabit Merah serta gambar mereka, sementara keluarga dan orang ramai mengadakan solat jenazah.

Pengebumian tujuh mangsa lain menyusul selepas itu.

“Mereka dibunuh dengan kejam oleh tentera pendudukan Israel, walaupun jelas mereka berada dalam misi kemanusiaan,” kata jurucakap Bulan Sabit Merah Gaza, Raed Al-Nimis, kepada AP.

Sejak perang bermula, sekurang-kurangnya 30 petugas Bulan Sabit Merah telah terbunuh oleh tentera Israel.

Antaranya dua yang dibunuh pada Februari 2024 ketika cuba menyelamatkan Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang terbunuh bersama enam ahli keluarganya ketika mereka terperangkap dalam kenderaan di bawah tembakan Israel di utara Gaza.

Dari Geneva, Ketua Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Jagan Chapagain berkata, pekerja yang terbunuh minggu lalu “memakai lambang yang seharusnya melindungi mereka; ambulans mereka juga jelas ditandai.”

“Semua pekerja kemanusiaan mesti dilindungi,” tegasnya. - Agensi

#Israel kejam #petugas perubatan dibunuh #kubur besar #rejim Zionis