SINGAPURA: Kejayaan ekonomi Singapura bergantung kepada keupayaannya untuk kekal relevan dan menambah nilai kepada dunia, kata Presiden Singapura Halimah Yacob.

"Oleh itu, kita sentiasa konsisten untuk melonjak ke atas walaupun terdapat kekangan," kata Halimah dalam perutusan Hari Kebangsaan terakhirnya sebagai Presiden hari ini.

Singapura akan menyambut Hari Kebangsaan ke-58 pada 9 Ogos.

Beliau berkata keupayaan republik itu untuk menambah nilai dan kekal relevan adalah lebih penting sekarang khususnya, dalam menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini yang timbul daripada "perubahan teknologi yang pesat, persaingan geopolitik, peningkatan perlindungan, inflasi serta kadar faedah yang lebih tinggi."

"Kita mesti kekal luar biasa dan jangan sesekali kehilangan kelebihan. Walaupun kita berinovasi serta meneroka sempadan baharu, kita perlu memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran supaya pekerja kita boleh mendapat manfaat daripada pekerjaan baharu dan yang lebih baik dalam sektor pertumbuhan," katanya.

Selain daya tahan ekonomi, Halimah, yang berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak 2017, juga menyentuh mengenai pengukuhan keharmonian dan perancangan masa depan bersama.

Pada Mei lepas, Halimah, presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura, mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding bagi pemilihan semula dalam Pilihan Raya Presiden yang dijadual diadakan tidak lama lagi.

Tarikh untuk pilihan raya belum diumumkan. Tempoh perkhidmatan Halimah berakhir menjelang 13 September ini.

-- BERNAMA