[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
DUNIA

Kejohanan Gimnastik Dunia: Israel bawa isu penolakan visa ke CAS, Indonesia kekal pendirian tidak benar penyertaan

Astro Awani 12/10/2025 | 05:56 MYT
Insiden cetus kebimbangan terhadap tindakan lanjut oleh FIG dan IOC menjelang Kejuaraan Dunia Senam Artistik di Jakarta pada 19-25 Oktober. -Foto web Artistic Gymnastics World Championships
JAKARTA: Kerajaan Israel secara rasmi telah mengemukakan aduan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung keputusan Indonesia menolak pemberian visa kepada enam atlet gimnastiknya, sekali gus menghalang penyertaan mereka dalam Kejohanan Gimnastik Dunia ke-53 yang dijadual berlangsung di Jakarta dari 19 hingga 25 Oktober ini.


Ringkasan AI
  • Israel kemuka aduan rasmi kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas Indonesia tolak visa enam atlet gimnastik mereka
  • Indonesia tegaskan keputusan selaras dasar luar dan solidariti terhadap Palestin, serta telah maklumkan pendirian kepada FIG sejak awal
  • Insiden cetus kebimbangan terhadap tindakan lanjut oleh FIG dan IOC menjelang Kejohanan Gimnastik Dunia di Jakarta pada 19-25 Oktober


Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa Indonesia, termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Imigrasi dan Pemasyarakatan (Imipas) serta Persekutuan Gimnastik Indonesia (FGI) memutuskan untuk tidak mengeluarkan visa kepada atlet Israel atas dasar solidariti terhadap rakyat Palestin dan selaras dengan dasar luar negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Presiden FGI, Ita Yuliati, dalam sidang media bersama Presiden Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Raja Sapta Oktohari menjelaskan bahawa keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Persekutuan Gimnastik Dunia (FIG) sejak awal, dan FIG difahamkan mengenai pendirian Indonesia terhadap negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengannya.

Tindakan Indonesia itu mencetuskan reaksi balas pihak Israel yang menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu bentuk 'diskriminasi politik' dalam arena sukan antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Sukan Israel menyatakan bahawa aduan kepada CAS bertujuan mempertahankan hak penyertaan atlet dalam kejohanan bertaraf dunia tanpa campur tangan politik.

Kejohanan Gimnastik Dunia kali ini merupakan penganjuran sulung di Indonesia dan dijangka menghimpunkan lebih 70 negara peserta.

Namun, insiden ini menimbulkan kebimbangan kemungkinan tindakan lanjut oleh badan sukan antarabangsa termasuk FIG dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Setakat ini, pihak CAS belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status aduan tersebut, namun pemerhati sukan menjangkakan proses timbang tara akan berlangsung dalam masa terdekat memandangkan tarikh kejohanan semakin hampir.










#atlet gimnastik #Israel #Indonesia tolak visa #Mahkamah Timbang Tara Sukan CAS #FIG #Kejohanan Gimnastik Dunia