Menurut kajian Lembaga Oxfam, kekayaan yang dimiliki oleh 1 peratus golongan paling kaya di dunia ini sama nilainya dengan gabungan kekayaan 99 peratus penduduk dunia.

Kajian yang dikeluarkan Oxfam pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos turut menggesa agar kerajaan-kerajaan dunia meningkatkan usaha mengurangkan ketidaksamaan berkenaan, lapor Bloomberg pada Isnin.

Oxfam yang juga merupakan badan amal anti-kemiskinan turut memetik data daripada Credit Suisse Group AG bahawa individu-individu yang paling kaya menguasai sebahagian besar kekayaan di dunia pada tahun 2015.

Oxfam turut mengira seramai 62 individu di dunia memiliki kekayaan yang sama dengan 3.5 bilion manusia lain iaitu suku daripada bilangan penduduk dunia berbanding 388 individu lima tahun yang lepas.

Kekayaan orang paling kaya meningkat 44 peratus sejak tahun 2010 kepada AS$1.76 trilion manakala kekayaan separuh lagi jatuh 41 peratus atau lebih sedikit daripada AS$1 trilion.

Oxfam menggunakan statistik itu untuk berhujah mengenai jurang ketidaksamaan yang sudah semakin membesar dan boleh menimbulkan ancaman kepada perkembangan ekonomi dan perpaduan sosial.

Risiko tersebut telahpun wujud di negara-negara dari Amerika Syarikat hingga Sepanyol.

"Adalah suatu yang tidak boleh diterima apabila separuh daripada populasi dunia yang paling miskin memiliki harta yang kurang berbanding beberapa dozen orang kaya yang boleh dimuatkan dalam sebuah bas.

“Kebimbangan pemimpin-pemimpin dunia mengenai krisis ketidaksamaan yang semakin meningkat, setakat ini tidak diterjemahkan kepada satu tindakan yang konkrit,” kata Pengarah Eksekutif Oxfam Winnie Byanima.

Oxfam mencadangkan agar pihak pemerintah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan polarisasi, sementara ahli-ahli politik pula perlu bersetuju dengan pendekatan global agar menamatkan amalan menggunakan akaun luar negara.