Kelahiran bayi Korea Selatan naik 15 bulan berturut-turut

Jumlah bayi yang dilahirkan di Korea Selatan meningkat untuk bulan ke-15 berturut-turut pada September, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jumlah perkahwinan. - Foto hiasan
SEOUL: Jumlah bayi yang dilahirkan di Korea Selatan meningkat untuk bulan ke-15 berturut-turut pada September, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan jumlah perkahwinan, menurut data pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Seramai 22,369 bayi dilahirkan pada September, meningkat 8.6 peratus berbanding 20,589 bayi pada bulan yang sama tahun lalu, menurut maklumat Kementerian Data dan Statistik.
Jumlah kelahiran menunjukkan trend peningkatan sejak Julai 2024.
Angka kelahiran bagi September adalah yang tertinggi bagi mana-mana September sejak 2020, apabila 23,499 bayi dilahirkan.
Seramai 191,040 bayi dilahirkan antara Januari dan September, meningkat 12,488 berbanding tempoh sama tahun lalu, menandakan peningkatan tahunan terbesar bagi sembilan bulan pertama tahun ini sejak 2007.
Berdasarkan pertumbuhan berterusan dalam kelahiran dan perkahwinan sejak separuh kedua tahun lalu, jumlah kelahiran baharu tahun ini dijangka melebihi jumlah tahun lalu iaitu 238,317.
Kadar kesuburan keseluruhan negara, iaitu purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya, meningkat 0.06 berbanding tahun sebelumnya kepada 0.85 pada September.
Menurut Kementerian itu, peningkatan terkini dalam kelahiran dipengaruhi oleh peningkatan berterusan dalam perkahwinan, dasar kerajaan yang menyokong kelahiran anak dan pertambahan populasi wanita awal 30-an.
Di Korea Selatan, yang kelahiran luar nikah jarang berlaku, peningkatan dalam perkahwinan lazimnya membawa kepada peningkatan kelahiran.
Jumlah perkahwinan pada September melonjak 20.1 peratus tahun ke tahun kepada 18,462, menandakan 18 bulan berturut-turut peningkatan. Kedua-dua jumlah peningkatan dan kadar pertumbuhan adalah yang tertinggi pernah direkodkan bagi mana-mana September.
Jumlah perceraian meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun kepada 7,959 pada September, menurut data itu.
Sementara itu, jumlah kematian pada September menurun 3.9 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 28,101, mengakibatkan penurunan populasi semula jadi seramai 5,732.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


