Kelewatan peralihan kuasa sukarkan tindak balas terhadap COVID-19 - Pasukan khas Biden

Astro Awani
November 17, 2020 23:30 MYT
Pentadbir perkhidmatan umum belum mengiktiraf Biden sebagai pemenang untuk pilihan raya 3 November lepas. -Gambar fail
WASHINGTON: Pakar perubatan bimbang kelewatan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kemenangan pilihan raya Joe Biden akan menjejaskan tindak balas Amerika Syarikat (AS) terhadap pandemik COVID-19.
Anggota pasukan khas COVID-19 Biden, Dr Vivek Murthy berkata setakat ini pakar tidak dapat berbincang dengan pegawai pentadbiran semasa yang menangani virus itu walaupun AS dilanda lonjakan kes baharu COVID-19.
Kata Murthy, perkara itu boleh merosakkan kemampuan pentadbiran yang baharu untuk pengedaran vaksin.
Murthy berkata pakar-pakar tidak dapat mengakses data semasa, termasuk kapasiti katil di hospital dan jumlah ubat serta peralatan dalam simpanan kerajaan.
Murthy merupakan bekas pakar bedah AS dan seorang daripada 13 pakar yang dilantik Biden untuk menasihatinya mengenai COVID-19 semasa tempoh peralihan.
Pentadbir perkhidmatan umum belum mengiktiraf Biden sebagai ‘pemenang’ untuk pilihan raya 3 November lepas.
Pengiktirafan itu perlu untuk membolehkan dana kerajaan disalur ketika tempoh peralihan.
Seorang jurucakap pentadbiran itu berkata pihaknya akan membuat keputusan setelah pemenang pilihan raya itu disahkan.
#COVID-19 #Biden #Trump #Amerika Syarikat #Joe Biden #AS memilih #pandemik #pilihan raya