PRINCESS of Wales, Kate Middleton, dilihat dalam sebuah video baharu bersama Putera William ketika pasangan itu membeli-belah di sebuah kedai di Windsor, hujung minggu lalu.

Video itu, yang diperoleh TMZ pada Isnin, adalah rakaman video pertama Kate sejak dia dimasukkan ke hospital pada pertengahan Januari susulan pembedahan perut. Ia juga merupakan kali ketiga Kate dilihat di khalayak ramai sejak akhir Disember, ketika pelbagai spekulasi terus bertiup mengenai kesihatannya.

Akhbar The Sun melaporkan Kate kelihatan "gembira, santai dan sihat" menjalani kehidupan di Windsor, tempat dia dan William tinggal bersama tiga anak mereka, Putera George dan Louis dan Puteri Charlotte.

Selain kedai tersebut, Kate dan William juga dilaporkan menyaksikan tiga anak mereka bersukan, lapor The Sun.

Namun begitu, pengguna media sosial belum berpuas hati dengan video terbaharu itu, dengan ramai mempersoalkan mengapa ia kelihatan sangat kabur.

"Dengan kecanggihan teknologi, video itu seolah dirakam oleh kamera dari 20 tahun lepas," kata seorang pengguna.

Sejak Januari, ketidakhadiran Kate dari tugas awam telah menyebabkan khabar angin tersebar tentang kesihatannya dan situasi perkahwinannya dengan William.

Khabar angin bertambah buruk selepas gambar yang dikongsi William dan Kate di media sosial pada Hari Ibu kemudiannya ditarik balik oleh agensi berita global kerana dikhuatiri telah disunting.

Kate kemudian mengeluarkan kenyataan di media sosial, memohon maaf atas kekeliruan yang disebabkan oleh foto itu.

"Seperti kebanyakan jurugambar amatur, saya bereksperimen dengan penyuntingan," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya ingin merakamkan permohonan maaf atas sebarang kekeliruan yang disebabkan oleh gambar keluarga yang kami kongsi semalam,"katanya.

Kebanyakan pakar diraja dan pakar visual bersetuju bahawa suntingan dalam foto tersebut bukan perkara serius dan hanyalah usaha seorang ibu untuk menjadikan fotonya bersama anak-anak nampak menarik.