[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Keluarga Murdoch capai kata putus dalam perebutan kuasa media

Agensi 09/09/2025 | 00:00 MYT
Pertikaian bertahun-tahun mengenai pewarisan empayar media, Rupert Murdoch (ganbar) akhirnya menemui noktah apabila anak lelakinya, Lachlan Murdoch, disahkan bakal menguasai kumpulan media berkenaan. - Gambar fail Reuters
NEW YORK: Pertikaian bertahun-tahun mengenai pewarisan empayar media, Rupert Murdoch akhirnya menemui noktah apabila anak lelakinya, Lachlan Murdoch, disahkan bakal menguasai kumpulan media berkenaan.

Perjanjian yang diumumkan keluarga itu pada Isnin akan memastikan hala tuju konservatif Fox News, The Wall Street Journal dan The New York Post berterusan walaupun Rupert, 94, meninggal dunia kelak.

Di bawah perjanjian tersebut, Lachlan akan mengawal sebuah amanah baharu, manakala adik-beradiknya – Prue MacLeod, Elizabeth Murdoch dan James Murdoch – tidak lagi menjadi penerima manfaat kepada mana-mana amanah yang mempunyai pegangan saham dalam Fox atau News Corp.

Langkah itu menamatkan perselisihan panjang antara Rupert dengan tiga anaknya mengenai masa depan rangkaian akhbar dan televisyen milik keluarga, sekali gus mengakhiri segala tindakan undang-undang berkaitan amanah keluarga mereka.

Inspirasi drama Succession

Kisah perebutan kuasa keluarga Murdoch ini pernah menjadi inspirasi kepada drama televisyen popular Succession.

Pengumuman pada Isnin dianggap sebagai “episod akhir” kepada saga sebenar keluarga tersebut.

Difahamkan, tiga anak Rupert yang lebih moderat dari segi politik dijangka menjual pegangan mereka dalam Fox dan News Corp dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Mereka turut dinamakan sebagai penerima manfaat kepada sebuah amanah baharu yang akan menerima hasil tunai daripada penjualan kira-kira 14.2 juta saham News Corp dan 16.9 juta saham Fox Corp.

Hasil jualan itu menambah kepada pusaka yang sudah dimiliki mereka, namun menghalang sebarang pengaruh terhadap hala tuju politik konglomerat media keluarga tersebut.

James, khususnya, sebelum ini mengambil langkah menjauhkan diri daripada perniagaan keluarga kerana tidak sehaluan dengan kandungan editorial syarikat.

Lachlan kekal terajui strategi syarikat

Lachlan kini memegang jawatan Pengerusi News Corp yang memiliki pelbagai penerbitan berpengaruh termasuk The Wall Street Journal dan The Times.

Beliau dilihat sebagai anak paling konservatif antara anak-anak tertua Rupert.

“Kepimpinan, visi dan pengurusan oleh pengerusi syarikat, Lachlan Murdoch, akan terus menjadi teras dalam menentukan strategi dan kejayaan syarikat,” kata News Corp dalam satu kenyataan.

Daripada enam orang anak Rupert, empat yang paling tua sebelum ini terbabit dalam pertikaian undang-undang mengenai masa depan syarikat.

Dua anak bongsunya hasil perkahwinan dengan Wendi Deng, Chloe dan Grace, turut dinamakan sebagai penerima manfaat dalam amanah keluarga yang baharu.

Pertarungan untuk menguasai empayar media itu sebahagian besarnya berlangsung secara tertutup di Nevada, negeri yang menawarkan kerahsiaan luar biasa untuk pertikaian amanah keluarga.

Ia tercetus selepas Rupert secara mengejut cuba mengubah syarat amanah supaya kuasa hanya diberikan kepada Lachlan, bukannya dikongsi bersama empat anak tertua.

Namun pada Disember lalu, mahkamah di Reno menolak usaha itu, menyatakan Rupert dan Lachlan bertindak “tidak beritikad baik” dalam cubaan meminda amanah tersebut.

Perjanjian pada Isnin diumumkan sebagai satu “penyelesaian bersama prosiding undang-undang,” menurut kenyataan syarikat berkenaan. - Agensi


#Rupert Murdoch #empayar media #perebutan kuasa media #keluarga Murdoch