WASHINGTON: Keluarga Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump atas dakwaan bahawa sekatan yang dikenakan terhadap beliau bertujuan mendiamkan kritikannya terhadap tindakan Israel di wilayah Palestin.
Menurut dokumen mahkamah, suaminya, Massimiliano Cali, bersama anak mereka, memfailkan saman itu pada Khamis.
Advertisement
Mereka berhujah bahawa tindakan Washington menyenaraihitamkan Albanese pada Julai tahun lalu merupakan bentuk hukuman politik kerana beliau lantang melaporkan pelanggaran hak asasi di Gaza dan Tebing Barat.
Albanese dilantik sebagai Pelapor Khas PBB pada 2022 untuk memantau situasi hak asasi di wilayah berkenaan.
Pentadbiran Trump sebelum ini menuduh Albanese melakukan “aktiviti berniat jahat dan berat sebelah” terhadap AS dan Israel.
Tuduhan itu termasuk peranannya memberi maklumat kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang akhirnya mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu serta bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang.
Keluarga Albanese menegaskan bahawa pandangan yang disuarakan beliau dilindungi oleh Pindaan Pertama Perlembagaan AS, yang menjamin hak kebebasan bersuara.
Mereka turut mendakwa sekatan itu menjejaskan kehidupan seharian, termasuk akses kepada rumah mereka di Washington, pembekuan aset, dan sekatan perjalanan, sehingga memberi tekanan besar kepada keluarga.
Dalam saman itu, mereka mempersoalkan sama ada kuasa sekatan kerajaan patut digunakan untuk menutup dakwaan pelanggaran hak asasi.
Albanese, seorang warganegara Itali, sebelum ini kerap disasarkan oleh pihak berkuasa Israel dan sekutunya kerana laporan tegas beliau berkaitan kesalahan terhadap rakyat Palestin.
Kes ini dijangka mencabar skop kuasa eksekutif AS dalam mengenakan sekatan terhadap pegawai PBB, khususnya apabila tindakan itu dianggap bertentangan dengan prinsip hak asasi dan kebebasan bersuara.