AS keluarkan imej pertama serbuan terhadap al-Baghdadi

Bernama
Oktober 31, 2019 22:24 MYT
Foto Abu Bakr al-Baghdadi yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan AS dan ditunjukkan semasa taklimat kepada media di Pentagon, 30 Okt, 2019. (Foto AP)
Pentadbiran Trump pada Rabu telah mengeluarkan rakaman video berkaitan serbuan yang menyebabkan kematian bekas pemimpin Daish, Abu Bakr al-Baghdadi, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Rakaman udara hitam putih itu menunjukkan sekumpulan anggota militan melepaskan tembakan ke arah tentera Amerika yang mendekati mereka, seperti yang dinyatakan oleh komander operasi serbuan tersebut.
Pentagon telah membuat penilaian bahawa pejuang terbabit bukanlah sekutu al-Baghdadi namun "tetap mempamerkan sikap permusuhan terhadap tentera AS," kata Jeneral Kor Marin Kenneth McKenzie Jr kepada pemberita di Pentagon.
Rakaman video menunjukkan beberapa letupan berlaku berhampiran kumpulan militan itu manakala video tambahan menyaksikan pasukan operasi khas AS yang terdiri daripada 10 anggota mendekati pekarangan kawasan di mana al-Baghdadi bersembunyi.
BACA: Abu Bakr Al-Baghdadi mati seperti seekor anjing - Trump
BACA: Pembunuhan al-Baghdadi: Netanyahu ucap tahniah kepada Trump
McKenzie berkata susulan adegan itu, mereka yang berada di dalam premis telah diminta keluar dan selepas beberapa orang berbuat demikian, mereka telah ditahan dan dibebaskan selepas pemeriksaan senjata api.
Kumpulan termasuk 11 kanak-kanak namun lima individu enggan memberikan kerjasama.
"Lima anggota Daish yang berada dalam pekarangan itu mendatangkan ancaman kepada pasukan tentera AS. Mereka tidak memberikan maklum balas terhadap arahan dalam bahasa Arab agar menyerah diri dan terus mengancam pasukan tentera. Mereka kemudian telah berbalas tembakan dengan pasukan serbuan dan terbunuh," kata McKenzie.
McKenzie berkata al-Baghdadi kemudian dilihat membawa dua orang kanak-kanak bersamanya ketika cuba melarikan diri daripada tentera Amerika.
Kedua-dua kanak-kanak itu terbunuh semasa al-Baghdadi meletupkan ves bahan letupan yang dipakainya, menyebabkan terowong di sekeliling mereka runtuh.
VIDEO: Kematian Al Baghdadi, Malaysia perlu siap sedia sebarang kemungkinan
VIDEO: Kematian Al Baghdadi tidak memberi impak kepada Malaysia
Secara keseluruhan, enam anggota Daish terbunuh dalam serbuan itu, termasuk empat wanita, kata McKenzie.
Jumlah itu membabitkan al-Baghdadi namun bukan kanak-kanak yang turut terbunuh apabila beliau meletupkan vesnya.
Dua lagi lelaki telah ditahan.
Trump pada Ahad mengumumkan serbuan yang dilancarkan ketika lewat malam itu di wilayah Idlib di barat laut Syria.
Rakaman tambahan yang dikeluarkan Pentagon menunjukkan senjata berat turut digunakan bagi meratakan kawasan di lokasi kejadian.
McKenzie berkata langkah itu bertujuan "memastikan ia tidak akan dianggap sebagai keramat atau tempat suci yang perlu diperingati dalam apa cara sekalipun."
Beliau mengesahkan bahawa jasad al-Baghdadi telah dikebumikan di laut "mengikut undang-undang konflik bersenjata" sama seperti cara AS melupuskan jasad pemimpin al-Qaeda yang dibunuh, Osama bin Laden, pada 2011.
-- BERNAMA
#Abu Bakr Al-Baghdadi #Al-Qaeda #daish #Kenneth McKenzie Jr #letupan #militan #operasi #operasi khas AS #Pentagon #senjata #Syria #tembakan #tentera #Turki #video