DUNIA

Kemajuan dicapai dalam fasa pertama pelan damai Gaza - Witkoff

Bernama 21/12/2025 | 03:45 MYT
Witkoff berkata rundingan itu juga menumpukan langkah-langkah untuk memudahkan perdagangan di rantau berkenaan serta pembangunan infrastruktur. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Kemajuan dicapai dalam pelaksanaan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Sabtu memetik Utusan Khas AS ke Timur Tengah Steve Witkoff.

"Fasa pertama telah menunjukkan kemajuan termasuk peluasan bantuan kemanusiaan, pemulangan mayat tawanan, pengunduran sebahagian pasukan, serta pengurangan permusuhan," tulis Witkoff di platform X, sehari selepas rundingan bersama wakil Mesir, Qatar dan Turkiye.

"Rundingan lanjut akan diteruskan dalam beberapa minggu akan datang bagi memajukan pelaksanaan fasa kedua," kata beliau.

Fasa kedua pelan damai Gaza merangkumi usaha pembinaan semula wilayah yang musnah itu.

Israel menegaskan bahawa mayat tawanan terakhir yang masih ditahan di Gaza sejak perang pada 2023 mesti dipulangkan terlebih dahulu -- antara syarat yang ditetapkan dalam fasa awal pelan berkenaan.

Pelan itu turut menyeru kepada pelucutan senjata Hamas, namun kumpulan berkenaan menyatakan ia tidak akan menyerahkan senjatanya.

Witkoff berkata rundingan itu juga menumpukan langkah-langkah untuk memudahkan perdagangan di rantau berkenaan serta pembangunan infrastruktur.

"Dalam konteks ini, kami menyatakan sokongan terhadap penubuhan serta pengoperasian Lembaga Keamanan dalam masa terdekat sebagai pentadbiran peralihan bagi landasan awam, keselamatan dan pembinaan semula," katanya.

Penubuhan Lembaga Keamanan merupakan satu daripada 20 perkara dalam pelan damai Gaza yang diumumkan Trump pada akhir September.

Di bawah cadangan itu, Gaza akan ditadbir sementara oleh sebuah jawatankuasa teknokrat tidak berpihak, di bawah seliaan badan peralihan baharu yang dikenali sebagai Lembaga Keamanan, yang menurut Trump akan dipengerusikannya.

-- BERNAMA




#pelan damai #Gaza #Steve Witkoff #Israel