Skip to main content

Dunia

Kemajuan ketara dicapai dalam rundingan perdagangan AS-India

U.S. President Donald Trump holds Indian Prime Minister Narendra Modi's hand as they attend a bilateral meeting during the G7 Summit in Evian-les-Bains, France, June 17, 2026. REUTERS/Evelyn Hockstein
Perdana Menteri Narendra Modi (kiri) dan Presiden Donald Trump mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Evian, Perancis pada Rabu. - Gambar Reuters
Advertisement

HYDERABAD: India berkata "kemajuan ketara" telah dicapai dalam usaha memeterai perjanjian perdagangan yang sekian lama dinantikan dengan Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu antara isu yang dibincangkan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan mereka di luar Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Evian, Perancis pada Rabu.

"Para pemimpin menyatakan kepuasan terhadap kemajuan ketara yang dicapai dalam rundingan ke arah Perjanjian Perdagangan Dua Hala Sementara dan mengarahkan pegawai masing-masing supaya memuktamadkan secepat mungkin perjanjian yang seimbang, saling menguntungkan serta mempunyai nilai komersial yang signifikan," menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Menurut kenyataan itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer akan melawat India minggu depan berhubung perkara berkenaan.

Menjawab soalan mengenai rundingan perdagangan yang sedang berlangsung, Trump menyifatkan Modi sebagai perunding yang "tegas."

"Kami telah melalui proses ini sejak beberapa ketika dan beliau seorang perunding yang sangat tegas, malah antara yang paling tegas," kata Trump sambil menunjuk ke arah pemimpin India itu.

AS dan India bersetuju mengenai perjanjian perdagangan sementara pada Februari tahun ini yang menyaksikan AS mengurangkan tarif kepada 18 peratus.

Pada 2025, Trump mengenakan tarif 25 peratus ke atas India serta penalti tambahan sebanyak 25 peratus kerana membeli minyak dari Rusia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement