Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
DUNIA

Kemajuan positif dalam perbincangan sempadan dengan Kemboja - Menteri Luar Thailand

Bernama 14/10/2025 | 12:42 MYT
Sihasak berkata rundingan empat pihak yang melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Kemboja dan Thailand, telah berjalan lancar. - Reuters
BANGKOK: Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow mengesahkan bahawa perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja di Malaysia pada Ahad berhubung ketegangan berterusan di sempadan kedua-dua negara telah berlangsung dengan jayanya.

Sihasak berkata rundingan empat pihak yang melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Kemboja dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, telah berjalan lancar.

Beliau menambah bahawa rundingan berjalan dengan baik, dengan dua lagi isu tambahan masih perlu dibincangkan bersama Malaysia.

"Terdapat kemajuan positif dan perbincangan berlangsung dengan sangat baik. Cadangan Thailand mendapat maklum balas yang menggalakkan, yang akan membawa kepada langkah seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.

Beliau menyatakan bahawa walaupun kemajuan telah dicapai, persoalan utama kini ialah bagaimana perjanjian tersebut akan dilaksanakan.

Pada Ahad, Sihasak telah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN.

Sihasak dijangka kembali ke Kuala Lumpur pada Jumaat ini (17 Okt) bagi meneruskan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja.

Beliau turut mengesahkan akan memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai hasil rundingan tersebut.

"Rundingan mengenai kedaulatan masih diteruskan, dan kita mesti kekal komited untuk mengekalkan serta mewujudkan suasana positif agar rundingan dapat bergerak ke hadapan dengan lancar. Kami tidak mahu membawa masuk isu-isu tambahan yang boleh merumitkan keadaan. Itulah yang kami harapkan," katanya.

Thailand dan Kemboja sedang berusaha ke arah keamanan berkekalan di sepanjang sempadan bersama sejauh 817 kilometer, yang sejak sekian lama menjadi punca pertikaian. Ketegangan terbaharu meningkat kepada konfrontasi ketenteraan di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lalu.

Kedua-dua kerajaan kemudiannya bersetuju untuk meredakan keadaan, yang kini dipantau rapat oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta AS dan China.

-- BERNAMA

#perbincangan #Isu Sempadan #Thailand #Kemboja #Sihasak Phuangketkeow