DUNIA

Kemalangan kereta api dan bas di Hamburg, seorang maut, 3 parah

Bernama 17/01/2026 | 07:30 MYT
Polis berkata nahas itu berlaku di lintasan kereta api yang tidak dikawal di daerah Wilhelmsburg. - Gambar hiasan
HAMBURG (Jerman): Seorang maut manakala beberapa yang lain cedera selepas sebuah lokomotif berlanggar dengan sebuah bas di bandar Hamburg, utara Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Jumaat yang memetik kenyataan bomba.

Jurucakap bomba berkata pemandu bas dilaporkan dalam keadaan kritikal manakala dua penumpang cedera parah. Seramai enam individu di dalam bas berkenaan turut mengalami kecederaan.

Polis berkata nahas itu berlaku di lintasan kereta api yang tidak dikawal di daerah Wilhelmsburg, berhampiran pelabuhan bandar itu, pada petang Jumaat.

Kira-kira 40 anggota pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian dan kawasan itu ditutup buat sementara waktu.

Punca kemalangan masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

-- BERNAMA





#kemalangan kereta api #kemalangan bas #Jerman #angka korban