DUNIA

Kematian 95 peratus penguin Afrika dekat Cape Town akibat tangkapan ikan berlebihan - Kajian

Bernama 05/12/2025 | 23:50 MYT
Pada 2024, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar meningkatkan status risiko kepupusan penguin Afrika kepada 'terancam kritikal'. - Gambar hiasan/REUTERS
MOSCOW: Penangkapan berlebihan ikan sardin di pantai selatan Afrika Selatan berkemungkinan menyebabkan lebih 60,000 penguin Afrika - mewakili 95 peratus populasi pembiakan di dua koloni berhampiran Cape Town - mati kebuluran dari 2004 hingga 2011, menurut kajian oleh kumpulan saintis antarabangsa, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Penangkapan berlebihan ikan sardin di pantai selatan Afrika Selatan menyebabkan lebih 60,000 penguin Afrika mati kebuluran dari 2004 hingga 2011, mewakili 95% populasi pembiakan di dua koloni berhampiran Cape Town.
  • Kajian saintis antarabangsa menunjukkan kadar kematian tinggi penguin disebabkan kekurangan makanan utama iaitu Sardinops sagax, akibat eksploitasi penangkapan sardin yang melebihi 20% populasi.
  • Kajian menyarankan penutupan kawasan perikanan berhampiran koloni dan pengurusan tekanan penangkapan ikan dapat membantu menjaga koloni penguin Afrika dari kepupusan yang semakin berisiko.


"Kadar kematian tinggi dalam kalangan penguin Afrika Spheniscus demersus di Afrika Selatan selepas 2004 berkemungkinan disebabkan oleh kebuluran," menurut kajian itu.

Kajian yang diterbitkan dalam Ostrich: Journal of African Ornithology pada Khamis itu mendapati kira-kira 62,000 burung yang membiak di Pulau Dassen dan Robben dalam tempoh berkenaan mati akibat peningkatan penangkapan ikan Sardinops sagax, iaitu sumber makanan utama mereka.

Kadar eksploitasi penangkapan sardin di kawasan barat Cape Agulhas kekal melebihi 20 peratus daripada populasinya antara 2005 dan 2010, dan mencapai paras tertinggi 80 peratus pada 2006.

Kajian itu menyimpulkan bahawa kadar kematian besar-besaran di sekitar Pulau Dassen dan Robben berkait rapat dengan kegagalan penguin menambah berat badan secukupnya bagi menghadapi musim luruh bulu.

Penguin Afrika memerlukan sumber makanan yang stabil kerana ia sangat penting untuk kelangsungan hidup dalam tempoh praluruh bulu.

Kajian itu mendapati bahawa kebanyakan penguin yang berjaya meluruhkan bulu mampu pulih dan kembali ke koloni untuk bersarang, berbeza dengan burung yang gagal melalui proses itu dan berkemungkinan besar mati kebuluran.

"Dengan populasi global jatuh kepada kurang daripada 10,000 pasangan buat pertama kali pada 2023, adalah kritikal sekarang untuk melakukan segala usaha bagi mengelakkan pengurangan selanjutnya dalam saiz koloni penguin Afrika," menurut kajian itu, sambil menambah bahawa penutupan kawasan perikanan berhampiran koloni dan pengurusan tekanan penangkapan ikan terhadap populasi sardin dan bilis Afrika Selatan dapat membantu mengurangkan penyusutan koloni.

Pada 2024, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) meningkatkan status risiko kepupusan penguin Afrika kepada "terancam kritikal".

-- BERNAMA

#penguin mati kebuluran #Afrika Selatan #tangkapan ikan sardin #penguin Afrika