Kematian pertama akibat selesema dilaporkan di daerah Los Angeles

Mangsa ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan tidak menerima vaksin selesema untuk musim ini. - Gambar hiasan
DAERAH Los Angeles melaporkan kematian pertama berkaitan selesema bagi musim ini, pada Rabu yang menurut pegawai kesihatan berkemungkinan menjadi lebih teruk, lapor Anadolu Ajansi.
Jabatan Kesihatan Awam daerah itu mengesahkan kematian akibat influenza berkenaan, sambil menggesa penduduk terus berwaspada ketika kes terus meningkat.
Ia berkata, mangsa ialah warga emas yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan tidak menerima vaksin selesema untuk musim ini.
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mangsa. Kematian tragis ini mengingatkan kita betapa seriusnya influenza," kata Pegawai Kesihatan Daerah Los Angeles, Dr Muntu Davis dalam satu kenyataan media.
Jabatan itu berkata, keadaan selesema kekal rendah setakat ini tetapi dijangka meningkat dengan perjalanan sempena musim cuti dan perhimpunan di dalam bangunan, sambil menambah bahawa "sekarang masa paling sesuai untuk mendapatkan vaksin selesema," yang mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membina perlindungan.
Pegawai kesihatan, termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), menasihatkan semua individu berusia lebih enam bulan untuk mendapatkan suntikan vaksin selesema tahunan.
Laporan CDC pada September menyatakan bahawa 280 kanak-kanak meninggal dunia akibat selesema musim lepas - angka tertinggi dalam kira-kira 15 tahun - dan hampir 90 peratus daripada mereka tidak divaksin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


