WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberikan dana AS$15 juta (kira-kira RM62 juta) kepada masyarakat rentan Palestin di Tebing Barat dan sempadan Gaza bagi membantu memerangi wabak COVID-19.

Ini sekali gus dilihat keputusan pusingan 'U' daripada pentadbiran Donald Trump yang memotong hampir semua bantuan kepada rakyat Palestin.

Duta Besar Amerika Syarikat, Linda Thomas-Greenfield membuat pengumuman itu dalam pertemuan bulanan Mideast Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Khamis.

Jelasnya, wang daripada Badan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat akan menyokong usaha respons Perkhidmatan Bantuan Katolik COVID-19 di kemudahan penjagaan kesihatan dan untuk keluarga rentan di Tebing Barat dan Gaza.

Dana tersebut akan mendokong bantuan makanan darurat kepada masyarakat paling memerlukan akibat wabak itu.

"Bantuan dan keperluan mendesak ini merupakan salah satu komitmen baharu kami untuk rakyat Palesin.

"Ini akan membawa lebih banyak kestabilan dan keamanan bagi rakyat Israel dan Palestin," katanya.

Di bawah pemerintahan bekas Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat memberikan sokongan kuat kepada Israel dengan mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv serta memutuskan hubungan dan mengurangkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin.

Pentadbiran Trump juga mengiktiraf penempatan haram Israel di tanah Palestin.

Selepas pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu, pentadbirannya mengumumkan akan memulihkan hubungan dengan rakyat Palestin dan memperbaharui bantuan kepada mereka.

Pengumuman AS juga menyusuli pertemuan maya yang disebut sebagai pengantara Quartet of Mideast.

Ini disertai AS, PBB, Rusia dan Kesatuan Eropah untuk membincangkan pelancaran semula usaha mereka yang telah lama terhenti untuk membuat Israel dan Palestin berunding dan menyelesaikan konflik puluhan tahun.

Rundingan itu akan membawa kepada penyelesaian dua negara, termasuk langkah-langkah nyata untuk memajukan kebebasan, keamanan dan kemakmuran bagi rakyat Palestin dan Israel.

Tidak ada rundingan damai antara Israel dan Palestin sejak 2014, dan kedua-dua belah pihak berpecah atas pelbagai isu.