Kemboja, EU ikrar kukuhkan hubungan dua hala

Bernama
Ogos 5, 2022 13:15 MYT
Prak Sokhonn menzahirkan penghargaan kepada EU dan negara anggotanya atas sokongan dan bantuan berterusan untuk pembangunan sosioekonomi Kemboja.
PHNOM PENH: Kemboja dan Kesatuan Eropah (EU) berikrar untuk terus memperkukuh hubungan dua hala bagi faedah bersama, kata seorang jurucakap pada Jumaat.
Komitmen itu dicapai ketika pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar Prak Sokhonn dengan Wakil Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Josep Borrell Fontelles, merangkap naib presiden Suruhanjaya Eropah.
Pertemuan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Kemboja.
"Timbalan PM Prak Sokhonn dan Borrell berpuas hati atas kemajuan berterusan dalam hubungan dua hala dan membincangkan kaedah untuk meningkatkan lagi persefahaman bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan," lapor Xinhua memetik jurucakap Kementerian Luar Kemboja Chum Sounry.
Sokhonn menzahirkan penghargaan kepada EU dan negara anggotanya atas sokongan dan bantuan berterusan untuk pembangunan sosioekonomi Kemboja, kata jurucakap itu.
Beliau turut mengenai kemajuan luar biasa yang dicapai negara itu dalam sistem demokrasi, menerusi pilihan raya komun (commune election) yang disertai 17 parti politik pada awal Jun tahun ini, yang berlangsung secara adil, telus dan bebas menyaksikan lebih 80 peratus kadar keluar mengundi.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-EU yang akan berlangsung pada 14 hingga 15 Dis 2022 di Brussels.
Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen dijangka mempengerusikan sidang kemuncak itu bersama pihak EU.
-- BERNAMA
#Kemboja #Kesatuan Eropah #ASEAN #Hubungan dua hala