DUNIA

Kemboja failkan aduan kepada ICJ berhubung pertikaian sempadan

Bernama 14/06/2025 | 07:30 MYT
Kenyataan dikeluarkan menjelang mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) Kemboja-Thailand yang dijadual berlangsung pada Sabtu di Phnom Penh. - Gambar fail/AP
PHNOM PENH: Kemboja akan memfailkan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad berhubung empat kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand, kata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Jumaat malam, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Kemboja akan failkan aduan kepada ICJ: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mengumumkan bahawa negara itu akan mengemukakan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung empat kawasan sempadan yang dipertikaikan dengan Thailand.
  • Pertikaian sempadan melibatkan empat lokasi: Kawasan yang dipertikaikan termasuk Mom Bei (Segi Tiga Zamrud), Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch, dan Kuil Ta Krabei, dengan Kemboja bertekad meneruskan tuntutan walaupun tanpa persetujuan Thailand.
  • Insiden ketegangan baru-baru ini: Keputusan Kemboja diambil selepas pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara pada 28 Mei yang mengakibatkan kematian seorang askar Kemboja.


Beliau berkata empat kawasan sempadan sensitif itu ialah Mom Bei, Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch dan Kuil Ta Krabei.

Mom Bei, atau dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, merupakan kawasan sempadan yang dikongsi antara Kemboja, Thailand dan Laos.

Hun Manet membuat kenyataan itu menjelang mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) Kemboja-Thailand yang dijadual berlangsung pada Sabtu di Phnom Penh.

Beliau menegaskan bahawa sama ada Thailand bersetuju untuk menyertai Kemboja dalam mengemukakan kes itu ke ICJ atau sebaliknya, Kemboja akan memfailkan aduan secara unilateral.

"Saya ingin mengesahkan semula kepada rakyat bahawa walaupun pihak Thailand menolak atau berdiam diri, Kemboja akan tetap meneruskannya secara unilateral," kata Hun Manet.

"Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa akan menghantar surat rasmi kepada ICJ pada Ahad, 15 Jun 2025, berkaitan pertikaian di keempat-empat kawasan berkenaan."

Langkah itu diambil susulan pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara di kawasan Segi Tiga Zamrud pada 28 Mei lepas yang mengakibatkan kematian seorang askar Kemboja.

-- BERNAMA



#Kemboja #failkan aduan #pertikaian sempadan #Mahkamah Keadilan Antarabangsa