Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Kemboja harap 18 anggota tentera dibebaskan segera selepas gencatan senjata

Bernama 12/08/2025 | 08:27 MYT
MALY SOCHEATA: Sudah 14 hari, keluarga mereka menunggu siang dan malam. Mereka sepatutnya dibenarkan pulang dan bersatu semula segera. -Gambar fail/Facebook Maly Socheata
PHNOM PENH: Kementerian Pertahanan Kemboja menyuarakan harapan agar 18 anggota tenteranya yang ditahan di Thailand susulan konflik sempadan baru-baru ini dapat dibebaskan dalam masa terdekat.


Ringkasan AI
  • Kemboja menggesa Thailand membebaskan 18 anggota tenteranya yang ditahan susulan konflik sempadan, dengan harapan mereka dapat pulang selepas gencatan senjata pada 28 Julai 2025.
  • Pertempuran rentas sempadan selama lima hari menyebabkan penggantungan hubungan diplomatik, penutupan sempadan, dan pemindahan lebih 170,000 rakyat Kemboja.
  • Gencatan senjata dimeterai dengan pengantaraan Malaysia dan disokong oleh AS serta China, kini dipantau oleh ASEAN dan rakan antarabangsa, dengan keadaan sempadan dilaporkan tenang.


Jurucakap kementerian, Leftenan Jeneral Maly Socheata mengakui kebimbangan keluarga anggota berkenaan yang menunggu penuh harapan untuk kepulangan mereka sejak gencatan senjata dipersetujui pada 28 Julai lalu.

"Kemboja terus menggesa pihak Thailand supaya mematuhi perjanjian dan menyerahkan 18 anggota tentera yang ditahan selepas gencatan senjata.

"Sudah 14 hari, keluarga mereka menunggu siang dan malam. Mereka sepatutnya dibenarkan pulang dan bersatu semula segera," katanya pada sidang media Selasa.

Pertempuran rentas sempadan antara kedua-dua negara tercetus pada 24 Julai selepas beberapa minggu ketegangan memuncak sejak insiden tembakan di sempadan pada 28 Mei.

Konflik bersenjata selama 120 jam itu membawa kepada penggantungan sementara hubungan diplomatik, penutupan sempadan, terhentinya perdagangan rentas sempadan, serta pemindahan lebih 170,000 rakyat Kemboja.

Pertempuran berakhir selepas gencatan senjata yang dimeterai dengan usaha pengantaraan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, disokong Amerika Syarikat dan China.

Susulan perjanjian gencatan senjata itu, Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Kemboja-Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos untuk membincangkan isu berkenaan dengan lebih lanjut.

Menurut kementerian, keadaan di kawasan sempadan kini tenang, dan gencatan senjata yang dipantau ASEAN bersama rakan antarabangsa masih berkuat kuasa.

-- BERNAMA



#konflik Thailand-Kemboja #gencatan senjata #Pertempuran rentas sempadan #Maly Socheata