Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Kemboja tegas sokong Pelan Autonomi Sahara oleh Maghribi

Ernalisa Othman 23/10/2025 | 08:39 MYT
Kemboja menegaskan pendirian menyokong penuh pelan autonomi yang dicadangkan Maghribi bagi menyelesaikan isu Sahara serta mengiktiraf kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu. - Gambar fail
KEMBOJA: Kemboja menegaskan pendirian menyokong penuh pelan autonomi yang dicadangkan Maghribi bagi menyelesaikan isu Sahara serta mengiktiraf kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.

Sokongan tersebut dinyatakan dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat secara sidang video antara Menteri Luar, Kerjasama Afrika dan Warganegara Maghribi, Nasser Bourita serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn.

Dalam mesyuarat itu, Sokhonn memuji usaha berterusan Maghribi bagi mencapai penyelesaian politik secara rundingan menerusi Pelan Autonomi Sahara yang dikemukakan sejak 2007, sambil menyatakan sokongan terhadap usaha Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan duta khasnya dalam menangani isu berkenaan.

Kemboja teguh sokong kedaulatan Maghribi dan Pelan Autonomi Sahara

Kedua-dua Menteri turut menegaskan komitmen terhadap keamanan, keselamatan dan kestabilan global, sambil menolak sebarang agenda pemisah yang menjejaskan kedaulatan negara anggota PBB.

Mereka juga menyifatkan ancaman kumpulan pemisah sama serius dengan ancaman pengganas dan ekstremis di peringkat antarabangsa.

Sokongan tegas Kemboja terhadap Maghribi ini menambah kepada senarai majoriti besar komuniti antarabangsa yang berpihak kepada pendirian Maghribi dalam isu Sahara.





#Pelan autonomi #Memuji usaha berterusan #Menegaskan komitmen terhadap keamanan #Menjejaskan kedaulatan negara