DUNIA

Kemboja tekad hapuskan pencemaran plastik secara menyeluruh

Bernama 05/06/2025 | 20:00 MYT
Usaha itu diumumkan dua bulan sebelum rundingan global bagi merumuskan perjanjian sah antarabangsa untuk menghentikan pencemaran plastik. - Gambar hiasan/REUTERS
PHNOM PENH: Kemboja mengulangi komitmen teguhnya untuk menghapuskan pencemaran plastik menerusi kempen kebangsaan yang berjaya menarik penyertaan jutaan rakyat.

Usaha itu diumumkan dua bulan sebelum rundingan global bagi merumuskan perjanjian sah antarabangsa untuk menghentikan pencemaran plastik.

Menteri Alam Sekitar, Eang Sophalleth berkata, dasar "Clean Land" bersama kempen seperti "Today, I Don't Use Plastic Bags" dan "Plastic-Free National Roads," menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan plastik dan membersihkan persekitaran.

"Setakat 21 April 2025, lebih 11 juta rakyat termasuk sami dan pihak berkepentingan, berikrar tidak menggunakan beg plastik, manakala lebih enam juta lagi menyertai kempen ini," katanya ketika menyambut Hari Alam Sekitar Kebangsaan dan Hari Alam Sekitar Sedunia pada Khamis.

Sesi kedua rundingan Jawatankuasa Antara Kerajaan mengenai instrumen sah antarabangsa bagi pencemaran plastik akan berlangsung di Switzerland pada 5 hingga 14 Ogos.

Kemboja kini bergelut dengan cabaran sisa plastik yang meningkat berikutan pertumbuhan penduduk, ekonomi pesat dan urbanisasi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menerusi perutusan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, berkata pencemaran plastik semakin merosakkan ekosistem dan iklim dunia.

"Sampah plastik menyekat sungai, mencemarkan laut dan mengancam hidupan liar. Negara-negara akan berkumpul untuk merumuskan perjanjian baharu bagi menamatkan pencemaran plastik.

"Kita perlu satu perjanjian yang berani, adil dan menyeluruh, meliputi keseluruhan kitar hayat plastik dengan pendekatan ekonomi kitaran," katanya.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun, dengan tema tahun ini: "Beat Plastic Pollution".

Program Alam Sekitar PBB menganggarkan 11 juta tan sisa plastik mencemari ekosistem akuatik setiap tahun, selain mikroplastik yang terkumpul dalam tanah akibat penggunaan plastik dalam pembungkusan pertanian.

Kos tahunan pencemaran plastik sosial dan alam sekitar adalah antara RM1.2 trilion hingga RM2.4 trilion (AS$300 bilion hingga US$600 bilion) setiap tahun.

-- BERNAMA




#sampah plastik #Kemboja #pencemaran #kempen kebangsaan