DUNIA

Kemboja umum alih senjata berat di sempadan Thailand selepas perjanjian damai

Bernama 09/11/2025 | 03:20 MYT
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berjabat tangan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet ketika mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober lalu. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Kerajaan Kemboja pada Sabtu mengumumkan bahawa senjata berat mula dialih dari kawasan sempadannya dengan Thailand berikutan termeterainya perjanjian damai antara Phnom Penh dan Bangkok selepas konflik berdarah di sempadan, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Senjata berat dialih dari sempadan Thailand-Kemboja selepas perjanjian damai antara kedua negara.
  • Proses pengalihan senjata mencerminkan komitmen bersama dan penghormatan terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
  • Harapan agar hubungan dua hala pulih dengan segera, sementara Thailand dan Kemboja bersetuju membina pagar keselamatan di sempadan.


Kementerian Pertahanan Kemboja dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua negara "terus melaksanakan fasa kedua peringkat pertama mengalihkan senjata dan peralatan berat yang bersifat merosakkan" dari kawasan sempadan.

"Kita perlu ketahui bahawa proses menarik balik senjata dan peralatan berat ini mencerminkan komitmen bersama Kemboja dan Thailand dalam menghormati serta melaksanakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada 26 Okt lalu," menurut kenyataan itu.

Phnom Penh turut menyuarakan harapan agar kedua-dua pihak "terus melaksanakan perjanjian terbabit dengan sepenuh keikhlasan, niat baik dan ketelusan," sambil menggesa agar "hubungan dua hala kembali pulih sepenuhnya dengan segera."

Sementara itu, Kementerian Luar Thailand dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk membina pagar keselamatan sepanjang lapan kilometer di kawasan sempadan.

Akhir bulan lalu, kedua-dua negara telah membincangkan pelaksanaan fasa pertama pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan yang dikongsi bersama.

Pada 26 Okt, Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur dengan disaksikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua negara itu turut mencapai persetujuan gencatan senjata tanpa syarat pada 28 Julai dalam mesyuarat tiga hala yang dianjurkan oleh Anwar selepas beberapa minggu ketegangan di sempadan.

-- BERNAMA

#konflik sempadan #konflik Thailand-Kemboja #gencatan senjata #Perjanjian Damai Kuala Lumpur