DUNIA

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi teruskan persiapan musim Haji 1447H

Bernama 27/09/2025 | 22:00 MYT
Sebanyak 25 bengkel diadakan bagi menambah baik perkhidmatan, 25 inisiatif inovatif diluluskan untuk musim akan datang, dan pangkalan data sukarelawan bagi Haji 1447H dilancarkan. - Foto fail/BERNAMA
MEKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi meneruskan persiapan bagi musim Haji 1447 Hijrah, dengan memulakan kerja lapan bulan lebih awal untuk menambah baik perkhidmatan dan meningkatkan keseluruhan pengalaman ibadah jemaah menerusi pelbagai mesyuarat dan inisiatif, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Setakat ini, kementerian melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk berkoordinasi dengan wakil dari lebih 60 negara melalui pejabat urusan haji mereka dan mengadakan lebih 50 mesyuarat bagi melancarkan inisiatif bas Saudi yang bertujuan meningkatkan sistem pengangkutan jemaah.

Menerusi platform Nusuk Masar, kementerian meluluskan 16 syarikat yang memberikan perkhidmatan kepada jemaah dari luar negara, menyelesaikan automasi panduan perkhidmatan untuk 75 negara, serta mengaktifkan 189 pusat hospitaliti.

Kementerian juga melayakkan dan memastikan kesiapsiagaan 24 syarikat yang memberi perkhidmatan kepada jemaah luar negara serta meluluskan lebih 11 syarikat perkhidmatan untuk jemaah tempatan.

Sebanyak 25 bengkel diadakan bagi menambah baik perkhidmatan, 25 inisiatif inovatif diluluskan untuk musim akan datang, dan pangkalan data sukarelawan bagi Haji 1447H juga dilancarkan.

-- BERNAMA





#Haji 1447 Hijrah #tambah baik perkhidmatan #jemaah #bas Saudi