DUNIA

Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia sahkan pesawat ATR hilang adalah pesawat rondanya

Bernama 17/01/2026 | 23:45 MYT
ATR berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan pakar mereka sedang memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa Indonesia serta pengendali terlibat bagi membantu siasatan.
JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia mengesahkan bahawa pesawat ATR 42-500 kendalian Indonesia Air Transport (IAT) yang hilang merupakan pesawat rondaan miliknya.


Ringkasan AI
  • Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) yang hilang disahkan sebagai pesawat rondaan oleh Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia.
  • Belum ada maklumat mengenai keadaan anggota yang berada di dalam pesawat tersebut yang masih belum ditemui.
  • Kementerian akan mengerahkan kakitangannya untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan rancangan Ketua Pengarah Pengawasan Sumber Marin dan Perikanan untuk turut serta dalam operasi tersebut.


Pengesahan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Pengawasan Sumber Marin dan Perikanan (PSDKP) kementerian berkenaan, Pung Nugroho Saksano, lapor agensi berita ANTARA pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini belum ada maklumat mengenai keadaan anggota yang berada di dalam pesawat itu memandangkan pesawat berkenaan masih belum ditemukan.

Menurutnya, kementerian akan mengerahkan kakitangannya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ya, kami akan mengerahkan anggota. Malah, saya merancang untuk menaiki penerbangan ke sana malam ini," katanya.

Pesawat itu dilaporkan terputus hubungan kira-kira waktu tengah hari Sabtu di ruang udara Daerah Maros, Sulawesi Selatan, ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar.

Terdahulu, Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Lukman F. Laisa berkata pesawat dengan nombor pendaftaran PK-THT itu dilaporkan membawa 10 orang, terdiri daripada tujuh anak kapal dan tiga penumpang.

Lukman berkata usaha mencari dan menyelamat telah diaktifkan serta-merta.

Sementara itu, syarikat pengeluar pesawat ATR dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan pakar mereka sedang memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa Indonesia serta pengendali terlibat bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA







#Indonesia #operasi mencari dan menyelamat #Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia #Pesawat Hilang #ATR 42-500