Kementerian Kesihatan Gaza beri amaran, kekurangan ubat kritikal dan bekalan semakin menyusut

Amaran itu dibuat susulan sidang media yang diadakan di Hospital Al-Shifa di barat Bandaraya Gaza bagi mengetengahkan kesan serius akibat penyusutan bekalan farmaseutikal, perubatan dan makmal. - Foto fail/REUTERS
BANDARAYA GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran pada Ahad mengenai penurunan mendadak stok ubat di hospital-hospital di wilayah Palestin dengan menyatakan kekurangan mencecah 52 peratus bagi ubat-ubatan dan 71 peratus bagi bekalan perubatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Amaran itu dibuat susulan sidang media yang diadakan di Hospital Al-Shifa di barat Bandaraya Gaza bagi mengetengahkan kesan serius akibat penyusutan bekalan farmaseutikal, perubatan dan makmal.
Sistem kesihatan kini berdepan "keadaan keletihan yang belum pernah berlaku dan amat berbahaya" selepas dua tahun serangan dan sekatan ketat, yang menjejaskan dengan teruk keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan diagnostik dan rawatan, menurut kementerian itu.
Mengulas secara terperinci mengenai kekurangan itu, kementerian menjelaskan, stok sebanyak 321 jenis ubat penting telah habis sepenuhnya di gudang simpanannya.
Beliau berkata, kekurangan yang menjejaskan perkhidmatan kecemasan dan unit rawatan rapi mencecah 38 peratus, boleh menyebabkan kira-kira 200,000 pesakit terhalang daripada rawatan kecemasan, 100,000 pesakit daripada perkhidmatan pembedahan dan 700 pesakit daripada rawatan rapi.
Kekurangan bekalan rawatan buah pinggang menyebabkan 650 pesakit dialisis tidak mendapat rawatan, katanya, sambil menyatakan mereka memerlukan kira-kira 7,823 sesi dialisis setiap bulan.
Kementerian turut memaklumkan yang beberapa pesakit kanser meninggal dunia susulan kekurangan 70 peratus ubat onkologi, sekali gus menyebabkan kira-kira 1,000 pesakit tidak menerima rawatan.
Menurut kementerian itu, 62 peratus ubat penjagaan kesihatan primer tidak tersedia, manakala bekalan sedia ada jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan lebih 288,000 pesakit.
Kementerian itu memberi amaran yang pesakit berdepan risiko kemerosotan kesihatan yang serius, termasuk strok dan serangan jantung, apabila tiada intervensi diagnostik atau rawatan dapat diberikan, sekali gus meningkatkan risiko kematian yang boleh dicegah.
Perkhidmatan kateter jantung dan pembedahan jantung terbuka terhenti sepenuhnya akibat kekurangan 100 peratus ubat dan bekalan perubatan yang diperlukan, sambil berkata sebarang perkhidmatan kateter terhad yang masih ada hanya dikhaskan untuk kes menyelamatkan nyawa.
Kementerian itu juga memaklumkan yang 99 peratus pembedahan ortopedik berjadual digantung berikutan ketiadaan peralatan penetapan tulang dan bekalan kritikal lain yang diperlukan untuk prosedur kompleks.
Ia memberi amaran yang pembedahan mata khusus turut berisiko dihentikan akibat kekurangan ubat penting dan bahan perubatan, dengan menyatakan perkhidmatan penjagaan mata kini beroperasi pada tahap minimum.
Ubat asas yang diperlukan untuk pemeriksaan awal mata, termasuk titisan pembesar anak mata yang digunakan bagi pemeriksaan retina, juga tidak tersedia, menurut kementerian itu.
Selain itu, kementerian berkata 59 peratus ujian makmal penting tidak dapat dijalankan, termasuk ujian yang diperlukan untuk keputusan perubatan menyelamatkan nyawa seperti pengimejan darah, analisis elektrolit, pengelompokan darah, kultur bakteria dan diagnostik bagi pesakit kegagalan buah pinggang.
Menurut kementerian lagi, krisis ini diburukkan lagi oleh sekatan berterusan Israel terhadap penghantaran bantuan perubatan, dengan kurang daripada 30 peratus keperluan bulanan trak perubatan Gaza dibenarkan masuk.
Katanya, bekalan yang berjaya memasuki wilayah itu sering kali tidak memenuhi keperluan sebenar dari segi jenis dan keutamaan.
Kementerian menggesa badan antarabangsa berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi memastikan kemasukan ubat-ubatan dan bekalan perubatan secara berkala serta memberi tekanan kepada Israel agar membenarkan akses kemanusiaan sepenuhnya, sambil memberi amaran yang kelewatan mengisi semula stok ubat boleh menyebabkan sistem kesihatan Gaza lumpuh terus.
Israel didakwa secara sengaja menyasarkan sistem kesihatan Gaza sepanjang genosid dua tahun itu dengan menyerang hospital, kemudahan perubatan dan gudang ubat, menyerang kakitangan perubatan serta menahan sebahagian pekerja kesihatan, selain menyekat kemasukan ubat-ubatan dan peralatan perubatan.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, Israel terus melanggar perjanjian itu dengan gagal membenarkan kemasukan jumlah trak bantuan perubatan seperti yang dipersetujui, sekali gus memburukkan apa yang disifatkan oleh kementerian kesihatan sebagai kecemasan kesihatan yang kritikal dan berterusan.
Sekurang-kurangnya 401 rakyat Palestin maut dan 1,108 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata, menurut angka terkini Pejabat Media Kerajaan Gaza.
Hampir 71,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala lebih 171,000 yang lain cedera dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.
--BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


