Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
DUNIA

Kementerian Kesihatan Gaza terima 45 mayat rakyat Palestin dari Israel

Bernama 16/10/2025 | 09:10 MYT
Kementerian Kesihatan Gaza menerima 90 mayat rakyat Palestin dari Israel melalui ICRC sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas. -Gambar fail
BANDARAYA GAZA/ISTANBUL: Kementerian Kesihatan Gaza menerima 45 mayat rakyat Palestin dari Israel melalui Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dipulangkan sejak Selasa kepada 90, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Kementerian Kesihatan Gaza menerima 90 mayat rakyat Palestin dari Israel melalui ICRC sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
  • Hamas telah menyerahkan lapan mayat tawanan Israel dan membebaskan 20 tawanan hidup sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin.
  • Pelan gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump merangkumi pengunduran tentera Israel, pembentukan tadbir urus baharu di Gaza tanpa Hamas, dan pelucutan senjata Hamas.


Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian itu berkata pasukan perubatannya terus mengendalikan mayat-mayat berkenaan mengikut prosedur dan protokol perubatan yang ditetapkan bagi melengkapkan proses pemeriksaan, pendokumentasian serta penyerahan kepada keluarga masing-masing.

Hamas telah menyerahkan mayat lapan tawanan Israel dalam tempoh dua hari lalu di bawah perjanjian gencatan senjata itu, selepas membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup pada Isnin sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin.

Minggu lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan yang dikemukakannya pada 29 Sept untuk memeterai gencatan senjata di Gaza, membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dan memastikan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh Semenanjung Gaza.

Fasa kedua pelan itu menyeru kepada pembentukan mekanisme tadbir urus baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan multinasional serta pelucutan senjata Hamas.

-- BERNAMA




#Gaza #Palestin #Israel #gencatan senjata