DUNIA

Kementerian Pertahanan Syria umum gencatan senjata di utara Aleppo

Bernama 09/01/2026 | 06:45 MYT
Pertahanan Syria memberikan tempoh sehingga 9 pagi Jumaat kepada kumpulan bersenjata untuk meninggalkan kejiranan terbabit bagi menamatkan situasi ketenteraan. - Gambar/ AP
ISTANBUL: Kementerian Pertahanan Syria pada Jumaat mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata bermula 3 pagi waktu tempatan di kejiranan Ashrafieh Sheikh Maqsoud dan Bani Zeid di utara bandar Aleppo, selepas berjaya menguasai daerah-daerah berkenaan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan gencatan senjata di Ashrafieh Sheikh Maqsoud dan Bani Zeid, Aleppo utara.
  • Pasukan keselamatan Syria ditempatkan selepas kumpulan PKK/YPG beroperasi di bawah SDF berundur.
  • Pihak berkuasa Syria menekankan perpaduan wilayah negara dan menyalahkan SDF kerana tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian penyepaduan.


Kementerian itu memberikan tempoh sehingga 9 pagi Jumaat kepada kumpulan bersenjata untuk meninggalkan kejiranan terbabit bagi menamatkan situasi ketenteraan, menurut kenyataan kementerian yang diterbitkan oleh Agensi Berita Arab Syria (SANA).

Kenyataan itu menyusul selepas Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa pasukan keselamatan dalaman mula ditempatkan di kejiranan Ashrafieh pada Khamis, susulan pengunduran kumpulan pengganas PKK/YPG yang beroperasi di bawah nama Pasukan Demokratik Syria (SDF).

Penempatan pasukan itu dibuat selepas sebilangan besar anggota SDF di kejiranan Sheikh Maqsoud dan Ashrafieh berpaling tadah, manakala sebahagian lagi melarikan diri.

Tentera Syria mula melancarkan bedilan hebat dan tertumpu ke arah kedudukan SDF di Aleppo awal pagi Khamis sebagai membalas serangan kumpulan itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.

Pada 10 Mac 2025, Kepresidenan Syria mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi penyepaduan SDF ke dalam institusi negara, sekali gus menegaskan semula perpaduan wilayah negara itu dan menolak sebarang cubaan untuk memecahbelahkannya.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa sejak beberapa bulan selepas itu, SDF tidak menunjukkan sebarang usaha untuk memenuhi syarat-syarat perjanjian berkenaan.

Kerajaan Syria telah mempergiat usaha untuk mengekalkan keselamatan di seluruh negara sejak penggulingan rejim Bashar al-Assad pada 8 Dis 2024 yang memegang kuasa selama 24 tahun.

-- BERNAMA



#Syria #gencatan senjata #perintah berkurung #Aleppo