WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa berkata kemusnahan yang dialami penduduk di Gaza adalah pada skala yang tidak diketahui dalam "sejarah baru-baru ini."

Guterres berkata pada sesi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai situasi di Gaza bahawa tempoh 100 hari yang lalu "menyayat hati dan menjadi malapetaka" bagi orang awam di wilayah terkepung itu, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Seluruh penduduk Gaza mengalami kemusnahan pada skala dan kadar yang tidak selari dalam sejarah baru-baru ini. Tiada apa-apa yang boleh mewajarkan hukuman kolektif rakyat Palestin," kata Guterres.

Ketua PBB itu juga menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza sebagai "mengerikan"dengan hampir 1.5 juta orang bersesak-sesak di wilayah Rafah.

"Setiap orang di Gaza kelaparan, dengan satu perempat daripada penduduk Gaza, lebih daripada setengah juta orang bergelut dengan tahap bencana bekalan makanan tidak menentu.

"Penyakit merebak apabila sistem kesihatan runtuh. Hanya 16 daripada 36 hospital di Gaza yang sebahagiannya berfungsi.

"Ini bermakna penduduk Gaza tidak hanya menghadapi risiko dibunuh atau cedera akibat serangan berterusan; mereka juga juga semakin berpeluang untuk dijangkiti penyakit berjangkit seperti hepatitis A, disentri dan kolera," kata Guterres.

Beliau juga menegaskan lebih banyak tempat lintasan ke Gaza diperlukan untuk mengurangkan kesesakan dan mengelakkan bantuan tersekat.

"Saya menyeru agar akses kemanusiaan yang cepat, selamat, tanpa halangan, meluas dan berterusan di seluruh Gaza," katanya.

Israel telah melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin sekurang-kurangnya 25,490 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 63,354 lagi cedera sehingga ini.

-- BERNAMA