Skip to main content

Dunia

Kenaikan harga diesel bebani industri pengangkutan Jerman, kerajaan digesa bertindak

71716635005_TBDiesel.jpg
Sejak permulaan perang di Iran, harga diesel di Jerman meningkat sekitar 40 sen (AS$0.46) seliter.

FRANKFURT: Persatuan pengangkutan jalan raya Jerman memberi amaran yang kenaikan mendadak harga diesel memberi tekanan besar kepada industri pengangkutan dan menggesa kerajaan mengambil tindakan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sejak permulaan perang di Iran, harga diesel meningkat sekitar 40 sen (AS$0.46) seliter, kata Dirk Engelhardt, Ketua Persatuan Persekutuan Pengangkutan Jalan Raya, Logistik dan Pengurusan Sisa (BGL).

Advertisement

Dengan jarak perjalanan bulanan 10,000 kilometer dan penggunaan bahan api 30 liter bagi setiap 100 kilometer, ini menyebabkan kos tambahan sekitar €1,200 sebulan bagi sebuah lori, katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, purata penggunaan bahan api bagi lori besar adalah antara 35 hingga 40 liter bagi setiap 100 kilometer.

Bagi flit sebanyak 50 kenderaan, jumlah ini mencecah lebih €700,000 setahun. “Ini berkemungkinan akan memberi kesan kepada harga pengguna lambat laun,” kata Engelhardt.

Seiring kenaikan harga diesel, sektor pengangkutan menggesa kerajaan memberikan sokongan. Langkah segera diperlukan tanpa birokrasi yang rumit bagi memastikan kecairan syarikat dan mengekalkan rantaian bekalan, katanya.

Had harga diesel juga boleh membantu mengehadkan beban ke atas perniagaan dan mengelakkan kebankrapan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana. Langkah lain termasuk pemulangan levi karbon dioksida (CO2) ke atas diesel atau penggantungan komponen CO2 dalam tol lori.

Apa yang penting ialah langkah itu bersasar dan sampai terus kepada syarikat pengangkutan, katanya.

Banyak syarikat bergantung kepada apa yang dikenali sebagai “diesel floater” untuk melindungi daripada turun naik harga. Ini ialah klausa pelarasan harga yang dipersetujui dalam kontrak individu dan berfungsi dalam kedua-dua arah.

Namun, ia selalunya mengambil masa untuk berkuat kuasa dan hanya mampu mengurangkan beban semasa secara terhad. “Dan banyak syarikat pengangkutan kecil langsung tidak mempunyai mekanisme lindung nilai seperti ini - kos berkenaan memberi kesan serta-merta kepada mereka,” kata Engelhardt.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video