Skip to main content

Dunia

AS kenakan sekatan baharu ke atas ICC, mahkamah sifatkan langkah itu serangan terhadap kedaulatan undang-undang

United Kingdom, Kanada, Denmark, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Belanda menyatakan sokongan berterusan terhadap ICC serta melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Washington. - Foto fail/AP
United Kingdom, Kanada, Denmark, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Belanda menyatakan sokongan berterusan terhadap ICC serta melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Washington. - Foto fail/AP

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan sekatan menyeluruh terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menghalang pendakwaan ke atas rakyat AS.
  • Langkah ini dikecam ICC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ancaman kepada keadilan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang.
  • Beberapa negara seperti United Kingdom, Kanada dan Jerman menyatakan sokongan kepada ICC serta kesal terhadap tindakan Washington.

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan sekatan menyeluruh terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), langkah yang disifatkan mahkamah itu sebagai serangan terhadap kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan antarabangsa.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata sekatan itu bertujuan mempertahankan kedaulatan negara berkenaan dan menghalang ICC daripada mendakwa rakyat AS.

Langkah terbaharu itu melarang entiti AS daripada menjalankan urus niaga dengan ICC dan dilihat sebagai usaha paling agresif Washington setakat ini terhadap mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu.

ICC dalam kenyataannya berkata sekatan berkenaan bertujuan mengganggu operasinya serta menakut-nakutkan pihak yang bekerjasama dengan mahkamah tersebut, namun menegaskan ia tidak akan berundur daripada melaksanakan mandatnya.

“Ini adalah serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut ICC.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, turut menyifatkan keputusan AS itu sebagai tamparan serius terhadap usaha menegakkan keadilan jenayah antarabangsa.

Sementara itu, United Kingdom, Kanada, Denmark, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Belanda menyatakan sokongan berterusan terhadap ICC serta melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Washington.

ICC ditubuhkan pada 2002 untuk mendakwa pelaku jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai. Mahkamah itu mempunyai 125 negara anggota, namun AS, Rusia, China, India dan Israel bukan anggota ICC.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengkritik ICC susulan siasatan terhadap tindakan tentera AS di Afghanistan serta waran tangkap yang dikeluarkan terhadap beberapa pemimpin Israel, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, kesan penuh sekatan baharu itu terhadap operasi ICC masih belum jelas, walaupun penganalisis memberi amaran ia berpotensi menjejaskan keupayaan mahkamah berkenaan untuk meneruskan prosiding kes antarabangsa.

 

Must Watch Video

Advertisement