Skip to main content

Dunia

Kennedy Center tangguh rancangan letak nama Trump sehingga Oktober

A tarp covers the facade of the John F. Kennedy Memorial Center for the Performing Arts, following a federal judge’s order to remove U.S. President Donald Trump's name from the institution, in Washington, D.C., U.S., June 13, 2026. REUTERS/Ken Cedeno/File Photo
Keputusan Kennedy Center untuk menamakan semula pusat itu sebagai “The Donald J. Trump and The John F. Kennedy Memorial Center for the Performing Arts” melanggar undang-undang persekutuan yang menetapkan bangunan itu hanya boleh dinamakan sempena mendiang Presiden John F. Kennedy. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Lembaga Pengarah Kennedy Center memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan pada Khamis bahawa mereka tidak akan meneruskan usaha meletakkan nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada bangunan atau kawasan pusat seni berkenaan sekurang-kurangnya sehingga 8 Oktober, sekali gus menangguhkan rancangan itu selama sebulan berbanding jadual asal.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu pemfailan ringkas di mahkamah selepas prosiding pendengaran yang menyaksikan Kennedy Center dan Jabatan Kehakiman (DOJ) diasak berhubung usaha mereka untuk mengembalikan nama Trump ke pusat berkenaan selepas cubaan terdahulu disekat pada musim panas lalu.

Hakim Daerah AS, Christopher Cooper yang mengendalikan kes itu di Washington, mengemukakan beberapa soalan kritikal kepada pihak DOJ, khususnya berkaitan keperluan mendesak untuk meletakkan nama Trump seawal 8 September.

Beliau menyifatkan tarikh tersebut sebagai arbitrari dan memberi amaran bahawa mahkamah mungkin mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang Kennedy Center meneruskan rancangan itu sementara pertikaian undang-undang masih berlangsung.

Menurut hujahan DOJ, lembaga pengarah mahu menambah nama Trump bagi mengiktiraf sumbangannya yang “berterusan” terhadap penyelenggaraan pusat berkenaan. 

Hujah itu dikemukakan bagi membezakan cadangan baharu tersebut daripada percubaan terdahulu untuk menamakan semula keseluruhan pusat seni itu sempena Trump.

Bagaimanapun, wakil Demokrat dari Ohio, Joyce Beatty, yang memfailkan cabaran undang-undang terhadap langkah tersebut berhujah bahawa Kongres tidak pernah memberi kuasa kepada Kennedy Center untuk berbuat demikian, selain mendakwa, tindakan itu bercanggah dengan keputusan terdahulu mahkamah.

Sebelum prosiding berlangsung, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, berkata, masa depan fizikal Kennedy Center bergantung kepada usaha pengubahsuaian yang dikaitkan dengan penglibatan Trump.

Ketika bercakap kepada media di luar mahkamah, beliau berkata, kemungkinan bangunan itu dirobohkan boleh menjadi satu “kesudahan yang tidak dapat dielakkan” sekiranya Trump tidak dapat melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang dirancang.

Namun, beliau menolak tanggapan bahawa perkara itu akan berlaku dalam masa terdekat.

“Perkara buruk boleh berlaku, tetapi ia tidak akan berlaku pada Khamis. Tiada siapa yang mengatakan ia akan berlaku hari ini. Ia cuma satu kemungkinan pada masa depan,” katanya.

Lutnick turut menyifatkan keputusan lembaga pengarah untuk meletakkan nama Trump sebagai usaha bagi mengiktiraf individu yang dianggapnya sebagai “pengumpul dana dan pembina terbaik.”

Isteri beliau merupakan salah seorang ahli lembaga Kennedy Center, manakala Lutnick sendiri hadir sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Hakim persoal niat sebenar penamaan semula

Ketika peguam DOJ, Brantley Mayers berhujah bahawa langkah penamaan semula itu diperlukan untuk memastikan sumbangan swasta terus mengalir kepada Kennedy Center, Hakim Cooper segera mencelah dan mempersoalkan kaitan hujah itu dengan hasrat asal Kongres ketika meluluskan perundangan berkaitan pusat berkenaan.

Awal tahun ini, Cooper memutuskan bahawa keputusan Kennedy Center untuk menamakan semula pusat itu sebagai “The Donald J. Trump and The John F. Kennedy Memorial Center for the Performing Arts” melanggar undang-undang persekutuan yang menetapkan bangunan itu hanya boleh dinamakan sempena mendiang Presiden John F. Kennedy.

Nama Trump telah dikeluarkan daripada bangunan tersebut pada Jun lalu, namun bahagian hadapan bangunan masih ditutupi kain kanvas sejak itu.

Pada 13 Ogos, lembaga pengarah mengundi untuk menambah satu plak di bawah papan tanda Kennedy Center yang menyatakan pusat itu “Dipulihkan dan Diubah Suai oleh Presiden Donald J. Trump.”

Mereka juga merancang untuk menambah lagi rujukan kepada Trump pada bahagian hadapan bangunan sekiranya dana endowmen pusat itu mencapai AS$100 juta, selain mahu menamakan tapak fizikal bangunan tersebut sempena Presiden berkenaan.

Pentadbiran Trump berhujah bahawa penamaan semula plaza atau kawasan sekitar Kennedy Center tidak melanggar statut Kongres yang menetapkan pusat itu sebagai memorial eksklusif kepada Kennedy.

Namun Cooper menyatakan bahawa jika hujah DOJ diterima, lembaga pengarah secara teorinya boleh menamakan garaj parkir sempena bekas Presiden Barack Obama atau seluruh kampus sempena bekas Presiden George W. Bush.

“Jadi keseluruhan kompleks itu pada asasnya boleh dijual hak penamaannya, dan itu masih selaras dengan tujuan asal Kongres?” soal beliau. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement