Kepala bayi terputus dalam rahim, pasangan saman hospital

Agensi
Disember 29, 2017 14:04 MYT
Mengikut laporan portal Metro UK, si ibu Reina Natalia Valazquez, hamil 22 minggu sebelum mengalami tanda-tanda untuk bersalin pada Isnin lalu.
SATU pasangan suami isteri di Argentina memfailkan saman ke atas seorang doktor yang didakwa cuai hingga menyebabkan kepala bayi mereka tercabut ketika proses kelahiran.
Mengikut laporan portal Metro UK, si ibu Reina Natalia Valazquez, hamil 22 minggu sebelum mengalami tanda-tanda untuk bersalin pada Isnin lalu.
Valazquez kemudiannya dibawa ke hospital di daerah Salvador Mazza.
Biarpun bayinya dalam keadaan songsang, doktor enggan melakukan pembedahan Caesaran memandangkan bukaan rahimnya sudah melebihi 10 cm.
"Sewaktu proses kelahiran, berlaku kekejangan pada rahim yang membuatkan bahagian leher bayi itu mengalami tekanan dan terputus.
"Kami sedia memberi kerjasama kepada siasatan pihak berkuasa, tetapi sehingga ada bukti berlakunya kecuaian, pihak hospital akan meneruskan operasi seperti biasa," kata pengarah hospital, Jose Fernandez.
Valazquez bagaimanapun bertegas apa yang terjadi adalah akibat kecuaian doktor bertugas.
"Bayi saya masih hidup kerana sebaik tiba di hospital, mereka melakukan ujian echo dan saya masih boleh dengar degupan jantungnya.
"Doktor itu menekan perut saya walaupun ketika itu saya tidak mengalami kontraksi. Saya meminta mereka melakukan Caesaran tapi mereka memberitahu tiada doktor untuk melakukannya.
"Saya hanya mahukan keadilan. Dia yang menyebabkan bayi saya mati dan tidak layak menjadi doktor," kata Valazquez.
#Argentina #bayi #bersalin #Hospital #mati #Reina Natalia Valazquez #saman #siasatan