SINGAPURA: Kepercayaan terhadap kecerdasan buatan (AI) bergantung kepada keupayaan memastikan teknologi itu selamat, boleh dipercayai dan berfungsi seperti yang diharapkan.
Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo berkata, meskipun AI semakin berupaya mengautomasikan tugasan kompleks, meningkatkan produktiviti serta melaksanakan tindakan merentasi sistem digital dengan kurang campur tangan manusia, risiko penyalahgunaan dan kegagalan sistem perlu ditangani secara serius.
Menurutnya, keupayaan AI berkembang lebih pantas berbanding pemahaman terhadap risikonya serta keupayaan untuk menguruskannya, sekali gus memerlukan usaha lebih besar dalam aspek pengujian, jaminan keselamatan dan perlindungan teknologi.
“Keupayaan kita untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat AI bukan sekadar bergantung pada kepantasan dan skala penggunaannya, sebaliknya lebih tertumpu kepada persoalan asas iaitu kepercayaan.
“Bolehkah kita mempercayai peralatan dan sistem AI untuk tidak mendatangkan kemudaratan kepada kita? Sistem AI boleh melakukan kesilapan, dimanipulasi atau bertindak di luar jangkaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada majlis makan malam Singapore International Cyber Week (SICW) 2026 di Singapura pada Isnin.
Jelasnya, tanpa kepercayaan terhadap teknologi, syarikat akan teragak-agak untuk meneruskan pendigitalan, rakyat pula lebih berhati-hati menerima pakai teknologi baharu, manakala negara berdepan cabaran untuk kekal terbuka dan saling berhubung.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha membina kepercayaan semakin mencabar susulan persekitaran ancaman siber yang kian kompleks, termasuk serangan terhadap infrastruktur kritikal, jenayah siber dan perisian tebusan.
Katanya, penggunaan AI turut meningkatkan risiko berkenaan apabila pelaku ancaman berupaya melaksanakan serangan dengan lebih pantas dan meluaskan skala operasi mereka.
Beliau turut merujuk serangan siber yang dikaitkan dengan kumpulan UNC3886 terhadap sektor telekomunikasi Singapura sebagai antara cabaran yang dihadapi negara itu.
Dalam pada itu, Josephine berkata, persaingan strategik antara negara turut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan teknologi kritikal, kebolehpercayaan rantaian bekalan serta akses kepada teknologi ketika berlakunya krisis.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri, penyelidik dan profesional keselamatan siber bagi menangani ancaman yang merentasi sempadan.
“Ancaman yang kita hadapi merentasi sempadan dengan lebih mudah, sedangkan kerjasama rentas sempadan semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata, industri perlu menjadi rakan strategik kerajaan dalam melindungi ekosistem digital memandangkan sebahagian besar infrastruktur digital yang menyokong ekonomi dibangunkan dan dikendalikan oleh sektor swasta.
Kerjasama itu termasuk pembangunan piawaian keselamatan, perkongsian risikan ancaman, pelaporan insiden serta pengujian teknologi baharu sebelum digunakan secara meluas.
Josephine menegaskan bahawa kepercayaan tidak dapat dibina melalui pengisytiharan semata-mata, sebaliknya memerlukan keterbukaan, kecekapan dan tindakan yang konsisten.
Katanya, SICW menyediakan platform penting untuk kerajaan dan industri mencari titik persamaan serta menterjemahkan perbincangan kepada kerjasama praktikal bagi memastikan masa depan digital yang selamat dan dipercayai.
Bertemakan “Siber di Persimpangan: Membentuk Orde Siber Baharu”, SICW 2026 menghimpunkan penggubal dasar global, pemimpin industri, pakar keselamatan siber, organisasi antarabangsa dan ahli akademik terkemuka bagi meneliti peluang serta cabaran yang menentukan era baharu.