KUALA LUMPUR:Keputusan oleh Kamar Pra Perbicaraan (Pre Trial Chamber), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah satu kemenangan yang sangat bermakna kepada rakyat Palestin.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, keputusan secara majoriti oleh tiga orang hakim itu memberikan bidang kuasa kepada mahkamah untuk membicarakan individu-individu Israel yang melakukan kesalahan perang, genosid dan kesalahan jenayah kemanusiaan yang di lakukan di bumi Palestin.

Tegasnya, jenayah itu termasuk di Tebing Barat, Gaza dan Baitul Maqdis Timur.

"Sebagai Ketua Pasukan Undang Undang tajaan NGO Malaysia beribu pejabat di Putrajaya, kerja kerja persiapan representasi secara Amicus Curaei (Sahabat kepada Mahkamah) telah bermula awal tahun lepas dan di hantar ke ICC yang beribu pejabat di The Hague pada bulan Mac.

"Selain Yayasan MyAQSA (MyAQSA), satu lagi NGO, Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) juga telah menyumbang dalam membuat representasi tersebut.

"Peranan dan sumbangan MyAqsa adalah amat penting kerana MyAqsa adalah satu satunya NGO Malaysia dan di Asia yang membuat representasi Amicus Curaei bagi pihak Palestin," katanya semasa dihubungi, pada Selasa.

BACA: Mesyuarat tergempar Liga Arab bincang isu Palestin

BACA: UNSC perlu jujur tangani konflik Israel-Palestin - Muhyiddin

Sebelum ini, ICC memutuskan bahawa ia memiliki bidang kuasa ke atas situasi di wilayah Palestin yang ditakluk, sekali gus membuka laluan untuk tribunal itu membuka siasatan jenayah peperangan.

Menurut ICC dalam satu kenyataan, barisan hakim 'memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.'

Dalam pada itu kata Dr Rahmat, dari awal lagi MyAqsa telah mendapatkan maklumat serta menjalankan penyiasatan dan mendapatkan bukti-bukti yang konkrit memastikan kejayaan kes.

"Apa pun, kejayaan memihak kepada Palestin ini adalah satu titik permulaan perjuangan yang masih panjang kerana ada beberapa cabaran besar yang menanti di masa yang terdekat.

"Umpamanya, Amerika Syarikat, Israel sendiri dan lain lain sekutu mereka sudah pun menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan itu dan ada kemungkinan untuk proses rayuan nanti.

"Bagi rakyat Palestin, sokongan padu oleh masyarakat dunia amat diperlukan bagi memastikan penjenayah-penjenayah perang dan genocid serta jenayah kemanusiaan tidak terlepas dari hukuman yang setimpal sebagai kejayaan moral," ujarnya.

Sebelum ini pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda, memohon pendapat undang-undang daripada mahkamah itu sama ada bidang kuasanya menjangkau kawasan ditakluki Israel, selepas mengumumkan pada Disember lalu bahawa beliau mahu memulakan satu siasatan penuh.

Disember lalu, Bensouda menggesa supaya siasatan penuh dilakukan berhubung isu berkenaan selepas siasatan awal dijalankan selama lima tahun.

Pejabat beliau memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan kejelasan kehakiman itu dan akan menentukan tindakan seterusnya dengan berlandaskan mandat bebas serta tidak memihak.