DUNIA

Keputusan Netanyahu tutup pintu sempadan Rafah langar perjanjian gencatan senjata - Hamas

Bernama 19/10/2025 | 01:40 MYT
Hamas menuduh Netanyahu "mereka alasan palsu untuk menghalang pelaksanaan perjanjian dan mengelak daripada menunaikan tanggungjawabnya." - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Hamas pada Sabtu berkata, keputusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk terus menutup pintu sempadan Rafah merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata serta penolakan terhadap komitmen yang dibuat kepada pihak perantara.

Pejabat Netanyahu sebelum itu mengumumkan bahawa pintu sempadan itu akan kekal ditutup "sehingga diberitahu kelak", sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Pintu sempadan Rafah dijadualkan dibuka semula pada Rabu lalu sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Okt.

"Keputusan Netanyahu menghalang pembukaan semula pintu sempadan Rafah sehingga diberitahu kelak adalah satu pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata serta penolakan terhadap komitmen yang telah dibuat di hadapan pihak perantara dan penjamin.

"Penutupan berterusan Rafah -- yang menghalang pemindahan mangsa cedera dan pesakit, menyekat pergerakan orang awam, menghalang kemasukan peralatan khas untuk mencari mangsa yang masih tertimbus, serta menghalang pasukan forensik daripada mengenal pasti mayat -- akan melambatkan proses pemulihan dan penyerahan semula (mayat tawanan Israel)," menurut Hamas dalam satu kenyataan.

Hamas turut menyatakan bahawa "pelanggaran dan serangan Israel yang berterusan -- dengan lebih 47 pelanggaran direkodkan sehingga kini, menyebabkan 38 kematian dan 143 cedera -- sekali lagi membuktikan niat agresif Israel serta dasar kepungannya terhadap lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza."

Kumpulan itu menuduh Netanyahu "mereka alasan palsu untuk menghalang pelaksanaan perjanjian dan mengelak daripada menunaikan tanggungjawabnya."

Hamas turut menggesa pihak perantara dan penjamin bertindak segera menekan Israel supaya membuka semula pintu sempadan dengan serta-merta, mematuhi semua terma perjanjian dan menghentikan jenayah berterusan di Gaza.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Hamas telah membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 13 mayat sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 banduan Palestin.

Perjanjian dicapai antara Israel dan Hamas minggu lalu berdasarkan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pelan itu turut merangkumi pembinaan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.

-- BERNAMA


#Hamas #Benjamin Netanyahu #langgar gencatan senjata #pintu sempadan Rafah