REYKJAVIK: Keputusan awal referendum Iceland mengenai sama ada rundingan keahlian negara itu ke dalam Kesatuan Eropah (EU) perlu disambung semula menunjukkan persaingan sengit di antara kem "Ya" dan "Tidak" pada Ahad.
Penyiar awam Iceland, RÚV, melaporkan keputusan awal berdasarkan kira-kira 87,000 undi yang dikira menunjukkan kem "Ya" mendahului tipis dengan 51.2 peratus sokongan berbanding 48.8 peratus bagi kem "Tidak".
Bagaimanapun, kedudukan itu berubah selepas lebih 153,000 undi selesai dikira apabila kem "Tidak" memintas dengan 50.1 peratus berbanding 49.9 peratus bagi kem "Ya".
Setakat ini, kira-kira 270,000 rakyat Iceland yang layak mengundi mengambil bahagian dalam referendum berkenaan, manakala pihak berkuasa pilihan raya masih belum mengumumkan angka rasmi keluar mengundi.
Operasi membawa peti undi dari kawasan bandar dan komuniti pedalaman dilakukan menggunakan pengangkutan udara, bot dan kenderaan darat sejurus pusat pengundian ditutup pada 10 malam Sabtu.
Pegawai pilihan raya berkata keputusan yang lebih stabil dan boleh dipercayai dijangka hanya diperoleh menjelang tengah hari Ahad (8 malam waktu Malaysia) apabila lebih banyak undi selesai dikira.