DUNIA

AS kerah 10 jet F-35, nafi agenda tukar rejim Venezuela

Astro Awani 05/09/2025 | 23:30 MYT
Pentagon memaklumkan pesawat itu akan digunakan untuk operasi memerangi kartel dadah, di samping berupaya mengimbangi kekuatan udara Venezuela. - Foto AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengarahkan penempatan tambahan 10 jet pejuang siluman F-35 ke sebuah pangkalan udara di Puerto Rico, sekali gus meningkatkan lagi kekuatan ketenteraan di rantau Caribbean.


Ringkasan AI
  • Amerika Syarikat menempatkan 10 jet pejuang F-35 di Puerto Rico untuk operasi memerangi kartel dadah dan mengimbangi kekuatan udara Venezuela.
  • Presiden Trump beri amaran bahawa jet Venezuela boleh ditembak jatuh jika ancam keselamatan; dakwa Maduro terlibat dengan kumpulan jenayah Tren de Aragua.
  • Beberapa ahli Kongres Demokrat kecam tindakan Trump sebagai melangkaui kuasa perlembagaan kerana perang terhadap Venezuela tidak diisytiharkan.


Pentagon memaklumkan pesawat itu akan digunakan untuk operasi memerangi kartel dadah, di samping berupaya mengimbangi kekuatan udara Venezuela.

Langkah ini dibuat ketika ketegangan meningkat susulan dakwaan AS bahawa jet pejuang Venezuela melakukan penerbangan provokatif berhampiran kapal perang USS Jason Dunham.

Presiden Donald Trump memberi amaran pesawat Venezuela boleh ditembak jatuh sekiranya mengancam keselamatan tentera AS.

Trump pada masa sama menegaskan Washington tidak bercakap tentang perubahan rejim di Venezuela, sebaliknya menumpukan kepada isu pilihan raya negara itu yang disifatkan sebagai “amat pelik”.

Kenyataan itu menyusul selepas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, mendakwa AS cuba menggugat pemerintahannya melalui ancaman ketenteraan.

Pentadbiran Trump sebelum ini melancarkan serangan ketenteraan yang menenggelamkan sebuah bot dari Venezuela dan mengorbankan 11 orang, dengan dakwaan bot itu membawa dadah terlarang.

Trump turut mengaitkan Maduro dengan kumpulan jenayah Tren de Aragua yang dilabel Washington sebagai organisasi pengganas pada Februari lalu.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menyifatkan Maduro sebagai ketua sebuah “negara pengedar dadah” dan berikrar operasi ketenteraan akan diteruskan.

Namun, beberapa ahli Kongres Parti Demokrat mengecam tindakan Trump sebagai melangkaui kuasa perlembagaan kerana perang terhadap Venezuela tidak pernah diisytiharkan.






#jet pejuang #F-35 #Donald Trump #Nicolas Maduro