DUNIA

Kerajaan Afghanistan lancar program bantuan untuk 80,000 keluarga yang pulang

Bernama 27/01/2026 | 00:40 MYT
Warga Afghanistan beratur untuk menunggu bantuan makanan dari sebuah pusat pengagihan di Yakawlang, wilayah Bamyan, Afghanistan, 1 Jan 2026. REUTERS
KABUL: Kerajaan Afghanistan telah memulakan program penyaluran bantuan tunai dan catuan makanan kepada 80,000 keluarga rakyatnya yang pulang ke tanah air di seluruh negara, lapor Xinhua memetik pengumuman seorang pegawai kepada perdana menteri negara itu pada Ahad.

Mawlawi Abdul Salam Hanafi membuat pengumuman itu semasa mengadakan lawatan ke wilayah utara. Beliau secara rasmi melancarkan pengagihan bantuan tunai dan bekalan makanan kepada 2,200 keluarga layak di Wilayah Jawzjan pada Ahad.

Hanafi telah memulakan program yang sama di Wilayah Balkh pada Sabtu. Beliau berkata pihak kerajaan memberikan keutamaan khas kepada rakyat yang pulang dan akan memperluas bantuan tunai serta makanan kepada 80,000 keluarga di seluruh negara.

Selain sokongan kewangan dan makanan, setiap keluarga yang layak juga akan menerima sebidang tanah kediaman di wilayah asal mereka, kata Hanafi.

Pakej sokongan bagi setiap keluarga terdiri daripada bantuan tunai sebanyak 5,000 Afghani (kira-kira US$77) dan 250 kilogram gandum.

Menurut statistik rasmi, hampir 2.8 juta warga Afghanistan yang berhijrah telah pulang ke tanah air pada tahun 2025 dari negara jiran, terutamanya Iran dan Pakistan.

-- BERNAMA



#Afghanistan #keluarga yang pulang #bantuan #makanan