WASHINGTON: Kementerian Pendidikan Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan berhubung polisi kemasukan mahasiswa baharu ke universiti terkemuka Harvard yang memberi keutamaan kepada ahli keluarga alumni dan penyumbang dana, dedah sebuah dokumen pada Selasa.

Menurut laporan AFP, polisi berkenaan memungkinkan kemasukan mahasiswa baharu berdasarkan hubungan keluarga dengan alumni yang sebelum itu merupakan graduan Harvard.

Siasatan ini juga akan mencakupi isu-isu mengenai keadilan dan diskriminasi dalam proses penerimaan penuntut baharu di universiti berkenaan.

Dasar penerimaan mahasiswa yang dikenali sebagai ‘kemasukan legasi’ di pelbagai institut pengajian tinggi di AS menjadi bahan perdebatan dan mengundang kritikan kerana tindakan sedemikian hanya memberi keuntungan kepada mahasiswa yang mempunyai hubungan keluarga dengan alumni yang berpengaruh.

Siasatan oleh Kementerian Pendidikan AS juga dilakukan kurang sebulan selepas Mahkamah Agung negara itu yang memerintahkan larangan penggunaan kaum dan bangsa dalam membuat keputusan menerima kemasukan mahasiswa baharu.

Tindakan yang diambil oleh jabatan hak kemanusiaan Kementerian Pendidikan AS ini juga sebagai maklum balas terhadap keluhan tiga pertubuhan yang mewakili mahasiswa minoriti.

Ketiga-tiga pertubuhan itu berpendapat, berdasarkan sejarah, majoriti mahasiswa Universiti Harvard terdiri daripada kelompok orang berkulit putih, justeru, penerimaan ‘kemasukan legasi’ secara tidak langsung mendiskriminasi calon mahasiswa minoriti.

Dalam laporan yang dikemukakan itu juga, kumpulan-kumpulan berkenaan mendakwa, hampir 70 peratus permohonan kemasukan ke Harvard mempunyai pertalian sama ada dengan keluarga alumni atau penyumbang dana yang merupakan orang berkulit putih.

“Peningkatan permohonan yang diterima sebahagian besarnya daripada orang berkulit putih melalui penyumbang dana warisan yang sangat signifikan,” tegas pertubuhan-pertubuhan berkenaan dalam laporan mereka.

Tanpa memberi sebarang komen mengenai siasatan yang dijalankan, jurucakap White House, Karine Jean-Pierre berkata, Presiden AS, Joe Biden secara umumnya menentang ‘kemasukan legasi’ itu.

Menurut Jean-Pierre, Biden telah menegaskan 'kemasukan legasi' itu hanya akan menghambat keupayaan membentuk kelompok mahasiswa yang beragam.

Sementara itu, dalam reaksi kepada AFP, pentadbiran Harvard tidak mengulas mengenai siasatan yang dijalankan Kementerian Pendidikan berhubung isu ‘kemasukan legasi’, sebaliknya berkata, mereka sedang dalam proses menyemak semula dasar penerimaan mahasiswa baharu susulan keputusan yang dibuat Mahkamah Agung. - Agensi