LONDON: Kerajaan Britain diberi lebih banyak masa untuk menyerahkan mesej yang tidak disunting daripada bekas Perdana Menteri, Boris Johnson kepada pasukan siasatan awam yang meneliti pengendalian pandemik COVID-19.

Kerajaan Johnson mengarahkan siasatan pada 2021 untuk melihat kesiapsiagaan negara serta tindak balas kesihatan dan ekonomi awam selepas Britain mencatatkan satu daripada jumlah kematian tertinggi di dunia akibat virus itu.

Siasatan itu yang dipengerusikan oleh bekas hakim, Heather Hallett, memberi tempoh sehingga Khamis, menyerahkan mesej dari aplikasi WhatsApp dan diari Johnson sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap pengendalian krisis itu.

Pejabat kabinet, yang bertanggungjawab untuk menyelia operasi kerajaan, sebelum ini enggan menyerahkan beberapa mesej dan rekod.

Ia mendakwa siasatan itu tidak mempunyai kuasa untuk meminta maklumat yang jelas tidak relevan dan berada di luar skop siasatan berkenaan.

Ini termasuk mesej WhatsApp kakitangan kerajaan yang tiada kaitan dengan tugas rasmi, sebaliknya bersifat peribadi dan berkaitan dengan kehidupan peribadi mereka.

Minggu lalu, Hallett berpendapat, tidak setuju dengan pejabat kabinet yang mempertahankan mesej tersebut tidak relevan dengan siasatannya.

Perdana Menteri, Rishi Sunak berkata, kerajaan mahu memastikan ia mengambil pengajaran daripada pengendalian pandemik tersebut.

Dalam pertikaian itu, Hallett bergantung kepada Seksyen 21 Akta Siasatan untuk memaksa kerajaan menyerahkan maklumat itu, bermakna kegagalan berbuat demikian boleh menjadi kesalahan jenayah.

Kegagalan untuk mematuhi perbuatan itu tanpa alasan yang munasabah boleh dihukum dengan denda sehingga 1,000 paun Sterling atau penjara maksimum 51 minggu.