DUNIA
Kerajaan India analisis data kotak hitam pesawat terhempas
Nahas pada 12 Jun mengorbankan 241 daripada 242 penumpang, dan siasatan rasmi dimulakan sehari selepas kejadian oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India. - Gambar/ Reuters
NEW DELHI: Kerajaan India pada Khamis memaklumkan bahawa data kotak hitam pesawat Air India Penerbangan AI-171 yang terhempas baru-baru ini di negeri Gujarat, barat India, telah dimuat turun bagi membolehkan urutan kejadian sebelum nahas dapat dikenal pasti, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Data kotak hitam pesawat Air India AI-171 yang terhempas di Gujarat telah dimuat turun untuk dianalisis, melibatkan CVR dan FDR bagi mengenal pasti urutan kejadian sebelum nahas.
- Siasatan dijalankan oleh pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar dari NTSB Amerika Syarikat, selaras dengan protokol antarabangsa kerana pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu dikeluarkan di AS.
- Nahas pada 12 Jun mengorbankan 241 daripada 242 penumpang, dan siasatan rasmi dimulakan sehari selepas kejadian oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India.
Menurut Kementerian Penerbangan Awam Persekutuan India, analisis terhadap data Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan (FDR) sedang dijalankan.
Menurut kementerian itu, Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat telah segera melancarkan siasatan dan menubuhkan pasukan pelbagai disiplin pada 13 Jun selaras dengan norma dan protokol antarabangsa.
Pasukan berkenaan merangkumi pakar perubatan penerbangan, kawalan trafik udara dan pakar teknikal dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), sebagaimana yang diwajibkan oleh perjanjian antarabangsa memandangkan pesawat itu dikeluarkan di AS.
Pesawat Air India jenis Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu terhempas pada 12 Jun sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, kira-kira 17 kilometer di selatan Gandhinagar, ibu negeri Gujarat, mengorbankan kesemua penumpang kecuali seorang daripada 242 orang di dalam pesawat.
-- BERNAMA