DUNIA

Kerajaan Perancis terselamat undi tidak percaya di tengah-tengah pertikaian belanjawan

Bernama 23/01/2026 | 20:30 MYT
Lecornu berucap semasa sesi perbahasan sebelum undian dijalankan ke atas dua usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Perancis yang dibawa oleh pembangkang di Parlimen, Paris, Perancis, 23 Jan 2026. REUTERS
PARIS: Kerajaan minoriti Perancis yang dipimpin Perdana Menteri Sebastien Lecornu sekali lagi terselamat daripada dua usul undi tidak percaya yang dibawa oleh pembangkang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kedua-dua usul, satu dikemukakan oleh golongan nasionalis sayap kanan pimpinan Marine Le Pen, dan satu lagi oleh gabungan parti sayap kiri, Parti Hijau dan Komunis - gagal memperoleh majoriti mutlak 288 undi yang diperlukan di Parlimen pada Jumaat.

Seramai 269 ahli Parlimen mengundi menyokong usul sayap kiri, manakala 142 undi memihak kepada usul sayap kanan.

Usul undi tidak percaya itu dikemukakan susulan keputusan Lecornu untuk meluluskan belanjawan yang dipertikaikan tanpa melalui undian Parlimen, selepas rundingan dengan parti lain gagal mencapai persetujuan.

Kerajaan Lecornu tidak memiliki majoriti di Parlimen, tetapi dijangka tidak tumbang memandangkan beliau memperoleh sokongan Parti Sosialis selepas membuat beberapa konsesi berkaitan belanjawan.

Bagi memastikan belanjawan itu diluluskan Lecornu terpaksa berulang kali menggunakan prosedur perlembagaan khas.

Bahagian hasil belanjawan kini terjamin susulan kegagalan usul undi tidak percaya itu. Lecornu seterusnya perlu meluluskan bahagian perbelanjaan serta keseluruhan belanjawan dalam beberapa hari akan datang, dengan lebih banyak usul undi tidak percaya dijangka menantinya.

Keupayaan Lecornu untuk meneruskan kelulusan belanjawan itu berkemungkinan disambut baik oleh sektor perniagaan, selain rakan Kesatuan Eropah seperti Jerman.

-- BERNAMA




#Perancis #undi tidak percaya #Belanjawan #Sebastien Lecornu